MyEG Lodging labur RM108 juta bangunkan projek perumahan pekerja asing di Batu Kawan | DagangNews Skip to main content

MyEG Lodging labur RM108 juta bangunkan projek perumahan pekerja asing di Batu Kawan

KUALA LUMPUR 6 Dis - MyEG Lodging (NC) Sdn Bhd, anak syarikat MyEG Services Bhd, akan melabur RM108 juta untuk memulakan kerja-kerja pembinaan perumahan pekerja asing dan fasiliti berkaitan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

Pengarah MyEG Lodging, Datuk Mohd Jimmy Wong Abdullah berkata projek berkenaan akan siap pada 2026 dan dapat menampung sekurang-kurangnya 8,000 pekerja asing.

 

Katanya, MyEG Lodging memenangi tender projek perumahan pekerja asing itu daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) pada April tahun ini.

 

“Tujuan projek ini untuk menyediakan penginapan pekerja asing kepada sektor swasta, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia selain bertindak sebagai penyelesaian menyeluruh yang menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

 

“Pendekatan ini juga dapat memperkemas proses dan menawarkan penyelesaian holistik kepada pekerja asing dan PKS yang bakal menggunakan perkhidmatan ini,”katanya selepas menandatangani perjanjian pajakan bagi projek tersebut dengan PDC di Georgetown hari ini, lapor Bernama.

 

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

 

Perjanjian pajakan tersebut bernilai RM20.4 juta untuk tempoh 30 tahun, memberi MyEG Lodging hak untuk membina dan mengendalikan projek perumahan pekerja asing dan fasiliti berkaitan di atas tanah seluas 3.4 hektar di Taman Perindustrian Batu Kawan 3 (BKIP 3).

 

Projek tersebut merangkumi asrama pekerja lima tingkat sebanyak 445 unit asrama dan bakal dilengkapi dengan fasiliti seperti kedai runcit, dobi, klinik, surau, bilik kuarantin, kemudahan sukan (gelanggang badminton, bola keranjang), kawasan rekreasi dan lain-lain.

 

Sementara itu, Chow berkata pembangunan asrama pekerja secara berpusat, terkawal dan terancang ini akan terus menyokong kadar pertumbuhan pesat pembangunan perindustrian di Pulau Pinang.

 

Katanya, pembangunan asrama pekerja ini bakal menyelesaikan masalah kebanjiran warga asing yang mendiami skim perumahan sedia ada, menangani isu susut nilai hartanah dan kedatangan warga asing tidak berdaftar.

 

“Justeru, bagi memastikan Pulau Pinang kekal sebagai hab pelaburan tempatan dan antarabangsa, kerajaan negeri sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pelaburan di negeri ini,” katanya.  - DagangNews.com