KUALA LUMPUR 3 Ogos - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang menandakan satu langkah penting ke arah mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara kedua-dua badan kawal selia.
MyCC dan MCMC dalam kenyataan bersama berkata, MoU tersebut menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama dalam menangani isu persaingan yang semakin kompleks yang merangkumi bidang kuasa kedua-dua badan kawal selia.
Katanya, mereka telah secara konsisten bekerjasama untuk memastikan persaingan dalam pasaran bagi melindungi kebajikan pengguna.
"Kerjasama paling signifikan adalah tindakan penguatkuasaan bersama MyCC dan MCMC dalam menangani pengaturan eksklusif antara penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pemaju hartanah atau badan pengurusan bersama di bangunan kediaman bertingkat berikutan aduan yang diterima daripada orang awam.
"Satu lagi bidang kerjasama adalah dalam menangani isu persaingan yang berkaitan dengan platform e-dagang dan penyedia perkhidmatan kurier," katanya.
Terdahulu, MoU ini ditandatangani oleh Pengerusi MyCC, Datuk Seri Mohd Hishamudin Yunus dan Ketua Pegawai Operasi MCMC, YBhg. Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus.
Ia turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Fuziah Salleh; Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail.
Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk meningkatkan keberkesanan dasar ekonomi dan seterusnya melindungi kepentingan pengguna di negara ini menerusi dasar persaingan dan penguatkuasaan.
Sebelum tersebut diadakan, MyCC dan MCMC telah menganjurkan forum bertajuk "Memperkukuh Dasar Perindustrian Melalui Persaingan" yang menampilkan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.
Para penceramah dan peserta yang terlibat dalam perbincangan yang membina ini bertukar pandangan berhubung persaingan sihat yang dapat memberi manfaat kepada pasaran dan pengguna. - DagangNews.com








