KUALA LUMPUR 7 April - MYAirline meraih pencapaian luar biasa apabila menerbangkan penumpang ke-500,000 hanya lebih empat bulan selepas syarikat penerbangan itu mula beroperasi pada Disember 2022.
MYAirline dalam kenyataan hari ini berkata, penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu dengan penerbangan Z9 8801 itu menerima kejutan apabila disambut dengan sambutan istimewa di pintu masuk di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Katanya, untuk menandakan peristiwa penting ini, mereka disambut oleh krew MYAirline dengan 'goodie bag' untuk semua penumpang.
"Semasa di atas kapal, para penumpang ke-500,000 yang bertuah menerima sepasang tiket penerbangan pergi balik percuma ke mana-mana destinasi dengan MYAirline," katanya.
Sejak pelancaran penerbangan sulungnya yang pertama pada 1 Disember 2022, MYAirline telah memulakan lapan laluan domestik di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo berkata, pihaknya bersyukur menjadi salah satu syarikat penerbangan terpantas untuk mencapai kejayaan penerbangan lebih 500,000 penumpang dan menjalankan lebih daripada 3,200 penerbangan setelah lebih empat bulan beroperasi.
“Kami pasti akan mencapai sasaran kami yang seterusnya lebih awal kerana kami dalam fasa pertama pelan hala tuju kami, dan sedang bersiap sedia untuk pengenalan laluan antarabangsa," katanya.

Rangkaian laluan semasa syarikat penerbangan itu terdiri daripada laluan antara bandar baharu yang menghubungkan Kota Kinabalu dan Tawau dan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Kuching, Kota Bharu, Langkawi, Pulau Pinang, Sibu, Tawau dan Miri.
Sempena sambutan ini, The Great Giveaway daripada MYAirline menawarkan diskaun bernilai sehingga RM500,000.
Tempah penerbangan dengan MYAirline hari ini dan gunakan kod promosi 'MYA500K' untuk mendapatkan diskaun bernilai RM5.
Manfaatkan The Great Giveaway kempen dan perjalanan dengan MYAirline dari 7 April hingga 28 Oktober 2023. - DagangNews.com








