KUALA LUMPUR 7 Mac - Zurich Malaysia telah dilantik sebagai penyedia insurans perjalanan eksklusif MYAirline untuk memudahkan proses mendapatkan perlindungan perjalanan bagi penumpangnya.
Menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat itu, insurans tersebut akan meliputi semua laluan sedia ada dan yang bakal diperkenalkan oleh syarikat penerbangan itu.
Penumpang juga boleh mendapatkan insurans perjalanan, MYAirline Travel Insurance, semasa proses pembelian tiket penerbangan.
Insurans tersebut meliputi penerbangan tertunda atau perjalanan yang dibatalkan; bagasi hilang, rosak atau lewat tiba; rawatan perubatan kecemasan semasa perjalanan dan faedah COVID-19.
“Penumpang boleh mendapatkan perlindungan bermula daripada tambahan RM25 untuk penerbangan sehala atau pergi balik, sehingga jumlah RM100,000 sekira berlakunya kematian akibat kemalangan atau hilang upaya kekal,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo berkata Zurich Malaysia memahami keperluan syarikat dan mempunyai kepakaran global untuk menyediakan penyelesaian terbaik buat penumpang.
“Saya yakin bahawa penyelesaian strategik mereka boleh membawa kami ke hadapan, dalam misi kami untuk menjadi syarikat penerbangan pilihan dan dipercayai, menyediakan perjalanan udara yang selamat dan mampu milik,” ujar beliau.
Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata pihaknya percaya kerjasama itu diperlukan untuk melaksanakan usaha perlindungan untuk meluaskan titik sentuh dan menyediakan penyelesaian yang memenuhi keperluan rakyat Malaysia dan pada masa yang sama memberikan ketenangan fikiran.
“Ini adalah peluang yang baik untuk kami melaksanakan usaha perlindungan. Kami amat teruja dilantik oleh MYAirline dan tidak sabar untuk memulakan perjalanan yang menarik ini bersama mereka,” katanya.
Rangkaian laluan semasa MYAirline terdiri daripada lapan destinasi domestik, merangkumi 30 penerbangan setiap hari. -DagangNews.com







