KUALA LUMPUR 3 Mac - MYAirline menduduki tangga teratas sebagai sebuah syarikat penerbangan paling digemari di Asia Pasifik dengan meraih sebanyak 52.2% ciapan positif menerusi Twitter, menurut tinjauan S Money Australia.
MYAirline dalam kenyataan berkata, tinjauan yang dijalankan Disember 2022 itu melibatkan jenama syarikat penerbangan utama di seluruh dunia dan MYAirline meraih kepujian itu dalam segmen Rest of Asia & Oceania.
Katanya, ia diterbitkan pada laman web yang mana sebahagian besar penemuannya mencerminkan sentimen awam yang diperoleh daripada pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif MYAirline, Rayner Teo berkata, pihaknya teruja mengetahui perkembangan ini yang meyakinkan bahawa mereka mengekalkan penumpang yang dekat di hati pada setiap masa.
Katanya, pihaknya telah menangani beberapa isu dan sentiasa membuat penambahbaikan kepada operasi.
"Menjadi syarikat yang boleh dipercayai dengan ketelusan kepada penumpang adalah kunci bagi kami. Saya berharap kami akan kekal di tempat teratas semasa tinjauan pendapat akan datang.
"Saya berterima kasih kepada kakitangan syarikat dan penumpang kerana meletakkan kepercayaan mereka kepada syarikat penerbangan baharu seperti kami," katanya.

MYAirline berbangga dengan mewujudkan kebolehaksesan sambil tidak melupakan kepentingan kepuasan penumpang melalui perkhidmatan pelanggan, kebolehpercayaan, dan kecekapan.
Terbang ke lapan destinasi domestik, rangkaian laluannya terdiri daripada kawasan tumpuan ekonomi dan pelancongan seperti Kota Kinabalu, Kuching, Langkawi, Kota Bharu, Pulau Pinang, Sibu, Tawau dan Miri.
Laporan penuh boleh didapati di https://www.smoney.com.au/blog/the-most-loved-and hated-airlines-from-every-country/. - DagangNews.com








