Muamalat Step-Up Auto Financing-i tawar pembiayaan kereta dengan ansuran rendah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muamalat Step-Up Auto Financing-i tawar pembiayaan kereta dengan ansuran rendah

Gambar proton.com
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 April - Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) melancarkan skim pembiayaan kenderaan berperingkat, ‘Muamalat Step-Up Auto Financing-i’ yang menawarkan pembiayaan kereta mampu milik dengan ansuran lebih rendah untuk tiga tahun pertama.

 

Skim tersebut juga membantu pelanggan mengurangkan beban aliran tunai pembiayaan awal dan memiliki kenderaan idaman mereka. 

 

Tawaran itu adalah eksklusif untuk kereta jenama Mitsubishi dan Proton di bawah pengedar rangkaian Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) sahaja.

 

Program itu bertujuan menawarkan penyelesaian pembiayaan kenderaan mampu milik kepada semua segmen pasaran, sama ada kepada pelanggan muda untuk kereta pertama, mereka yang perlu menukar kereta atau yang ingin membeli kereta lain.

 

Nilai yang lebih baik juga terjamin untuk semua pelanggan kerana dengan kerjasama myTukar, mereka boleh menjual semula kenderaan tersebut kepada pakar kereta terpakai itu ketika penghujung tempoh tiga tahun pada harga yang dipersetujui pada awal pemilikan.

 

Bank Muamalat merupakan bank pertama memperkenalkan pakej pembiayaan kenderaan yang membolehkan pelanggan menikmati bayaran bulanan lebih rendah dan fleksibel dengan nilai belian balik yang terjamin. 

 

Ia bergantung kepada tempoh pembiayaan, ansuran bulanan di bawah Muamalat Step Up Auto Financing-i boleh mencapai sehingga 33% lebih rendah berbanding pembiayaan konvensional. Skim ini ditawarkan untuk tempoh pembiayaan lima, tujuh dan sembilan tahun.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, Muamalat Step Up Auto Financing-i ini adalah Pembiayaan Kenderaan Muamalat-i (MVF-i) di bawah konsep Syariah Murabahah.

 

“Tawaran ansuran lebih rendah boleh membantu pelanggan mengurangkan beban aliran tunai mereka dan boleh membuat simpanan serta mempunyai wang tunai berlebihan untuk pelaburan atay tujuan lain,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial pula berkata, pelancaran skim pembiayaan inovatif sebegini akan dapat memenuhi keperluan pelanggan yang mahukan lebih nilai dan penyelesaian bagi memenuhi keperluan kewangan mereka.

 

"Sebagai pengendali rangkaian Mitsubishi dan Proton terbesar di seluruh negara, EON berupaya menawarkan pelbagai jenis kereta daripada dua jenama terkenal ini kepada pelanggan kami melalui semua cawangan EON. EON menawarkan dua model Mitsubishi dan enam model Proton untuk pilihan pelanggan menyertai skim ini,” katanya.

 

Ketua Pegawai Kewangan Carro, Ernest Chew berkata, MyTukar berbesar hati untuk memulakan perkongsian pertama seumpama ini bersama EON dan Bank Muamalat.

 

"Kerjasama ini akan memainkan peranan utama dalam penglibatan DRB-HICOM dan Bank Mualamat daripada setiap sudut dan menyokong keseluruhan ekosistem naik taraf kereta baharu dengan mewujudkan saluran pemindahan kereta yang lancar dalam bentuk pembiayaan 'step-up', ” katanya. - DagangNews.com