KUALA LUMPUR 1 Dis - MSM Malaysia Holdings Bhd. melantik Dr Mazatul ‘Aini Shahar Abdul Malek Shahar sebagai ketua pegawai kewangan (CFO) baharu berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu bagi menggantikan Ab.Aziz Ismail, 55, setelah kontraknya berakhir. Beliau memegang jawatan tersebut selama dua tahun sejak Jun 2019.
Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, MSM berkata, Mazatul ‘Aini, 50, buat masa ini memegang jawatan sebagai pengarah bebas bukan eksekutif di IJN Holdings Sdn. Bhd.
Sebelum itu, beliau adalah pengarah bukan eksekutif di 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd, dan TH Heavy Engineering Bhd. serta menganggotai jawatankuasa audit bagi kedua-dua syarikat berkenaan.
"Beliau memiliki pengalaman selama 26 tahun dalam perbankan dan kewangan Islam, pengumpulan dana, pengurusan transformasi, kewangan korporat dan kerja-kerja khidmat nasihat.
"Malah, beliau pernah memegang jawatan sebagai CFO Kumpulan Proton Holdings Bhd. sebelum penggabungan dengan Zhejiang Geely Group, dan CFO untuk Nationwide Express Courier Services Bhd.," katanya.
Dalam laporan kewangan yang diumumkan baru-baru ini, syarikat pegangan 51% FGV Holdings Bhd. itu mencatat kerugian bersih berjumlah RM72.8 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 berbanding keuntungan bersih sebanyak RM96.86 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Kerugian itu disebabkan kos input yang lebih tinggi terutamanya harga gula mentah, kos pengangkutan, gas asli dan kelemahan ringgit. - DagangNews.com








