KUALA LUMPUR 4 Julai - Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) telah bekerjasama dengan pitchIN bagi menyokong perjalanan pengumpulan dana syarikat pemula niaga.
Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, kerjasama tersebut membolehkan syarikat pemula niaga meningkatkan pelaburan menerusi platform pitchIN sambil menerima sokongan dan bimbingan daripada MRANTI sepanjang perjalanan pengumpulan dana mereka.
"Dengan pembiayaan alternatif mengatasi pembiayaan modal teroka di Malaysia, mencatatkan sejumlah RM1.7 bilion pada 2022 berbanding RM1.3 bilion daripada pembiayaan teroka, kerjasama ini mengawal selia pembiayaan dan pelaburan alternatif sebagai pilihan untuk perniagaan serta pelabur di Malaysia," tambahnya.
Kedua-dua pihak telah menyasarkan untuk mendorong 15 syarikat pemula niaga teknologi di bawah MRANTI dalam aktiviti mengumpul dana daripada pelabur sebagai pertukaran untuk kepentingan (ekuiti) dalam perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar berkata kerjasama tersebut bakal membuka jalan kepada persekitaran inovasi yang bertenaga dan dinamik, mempertingkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Inovasi Global (GII).
Dengan menambah nilai kepada kitaran pembangunan pertumbuhan syarikat pemula niaga, beliau berkata MRANTI meningkatkan nilai dan impak mereka secara berkesan.
"Melalui perkongsian ini, kami bersedia untuk mengubah landskap pelaburan, mendemokrasikan akses kepada modal dan memacu pertumbuhan syarikat pemula dan spin-off di negara ini," tambahnya.

Fundraising Accelerator (FA) oleh pitchIN adalah program khusus yang direka untuk membantu pengasas syarikat yang mempunyai pengalaman terhad atau sifar dalam mendapatkan pembiayaan daripada pelabur luar.
Ia melengkapkan pengasas dengan teknik dan pengetahuan yang diperlukan bagi mengumpul modal secara berkesan untuk perniagaan mereka, menyediakan pembelajaran mendalam tentang selok-belok pengumpulan dana.
Ketua Pegawai Eksekutif pitchIN, Sam Shafie berkata pengalaman syarikat itu menjalankan platform pendanaan awam ekuiti (ECF) pitchIN telah menunjukkan bahawa kebanyakan syarikat pemula niaga akan mendapat manfaat daripada mempelajari bidang utama yang diliputi dalam program kami seperti penilaian syarikat, undang-undang, usaha wajar, penstrukturan perjanjian dan sumber dana.
"Di samping itu, semua peserta kohort FA kami menerima nasihat pengumpulan dana khusus serta akses keutamaan kepada kepakaran ECF kami," tambahnya.
Permohonan untuk Funding Accelerator Programme yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Julai kini dibuka dan tarikh akhir permohonan adalah 17 Julai, di mana mereka yang berminat boleh memohon di https://academy.pitchin.my - DagangNews.com







