MQTech, TSIST tinjau kerjasama bangunkan kemudahan semikonduktor di UTeM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MQTech, TSIST tinjau kerjasama bangunkan kemudahan semikonduktor di UTeM

Naib Pengerusi MQTech, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid (kanan) bersama  Ketua Pegawai Eksekutif TSIST, Prof. Liu Chien-Lung ketika sidang akhbar hari ini.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Nov - Kerjasama antara MQ Technology Bhd. (MQTech) dan Taiwan Superconductor International Semiconductor Technology Co. Ltd. (TSIST) akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam sektor semikonduktor yang memiliki prospek cerah pada masa depan.

 

Naib Pengerusi MQTech, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid berkata, ini mendorong kedua-dua pihak meninjau kerjasama untuk menubuhkan kemudahan semikonduktor di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). 

 

Katanya, menerusi kerjasama itu, UTeM akan menyediakan tanah, kilang dan pelatih manakala MQTech pula dari segi penyediaan jentera, pengurusan, teknologi dan latihan. 

 

"Memandangkan kerjasama ini masih di peringkat awal dan bermula sejak dua bulan lalu, kami belum memutuskan jumlah pelaburan yang akan diperuntukkan bagi pembinaan kemudahan ini. 

 

"Kami melihat kemudahan ini akan berperanan sebagai pusat pemindahan teknologi dan pengetahuan dalam kalangan pelajar UTeM bagi membolehkan kami meneroka pasaran dengan lebih luas secara berperingkat-peringkat," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena menyambut kedatangan Ketua Pegawai Eksekutif TSIST, Prof. Liu Chien-Lung ke Malaysia hari ini. 

 

Pada 2 Ogos lalu, MQTech memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan TSIST membabitkan rundingan berkenaan dengan minat TSIST untuk melabur sehingga 30% ekuiti dalam MQTech melalui penyertaan dalam pelaksanaan korporat kumpulan yang akan datang.

 

Hasil daripada langkah korporat itu akan menyaksikan TSIST membantu dan menyediakan pengetahuan teknikal kepada MQTech untuk mengembangkan operasi semikonduktornya di Malaysia.

 

TSIST adalah syarikat yang memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan bahan untuk industri berteknologi tinggi dengan kekuatannya dalam proses pembuatan dan penulenan.

 

Sementara itu, Chien-Lung berkata, kerjasama itu menyaksikan potensi yang cukup besar antara kedua-dua syarikat meskipun MQTech pada masa ini merupakan syarikat semikonduktor terkecil yang disenaraikan di Malaysia dari segi permodalan pasaran. 

 

Ini kerana menurutnya, pihaknya yakin dengan prospek syarikat itu dan potensi MQTech untuk berkembang maju pada masa depan.

 

"Kami serius dan komited dengan potensi semikonduktor di negara ini, justeru, cadangan daripada TSIST termasuk (pembangunan) tiga fasa bagi kilang semikonduktor yang akan mengambil masa sekitar 1 hingga 3 tahun untuk Fasa 1 dilaksanakan sepenuhnya. 

 

"Ia memerlukan tenaga kerja antara 50 hingga 500 orang bagi fasa 1 hingga 3. Kami mahu mengubah MQTech menjadi syarikat gergasi semikonduktor dan pembekal bahan pasaran utama dunia serta memberi tumpuan kepada semikonduktor generasi ketiga, di samping mewujudkan rantaian industri bersepadu dan membangunkan generasi keempat semikonduktor," jelasnya. - DagangNews.com