MPOB pelawa usahawan jalankan ujian prapemasaran di kemudahan pengeluaran sabun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MPOB pelawa usahawan jalankan ujian prapemasaran di kemudahan pengeluaran sabun

Ujian prapemasaran bagi pengeluaran sabun berasaskan sawit di kemudahan pengeluaran sabun di MPOB, Bandar Baru Bangi, Selangor.

KUALA LUMPUR 14 Feb – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menggalakkan usahawan menggunakan minyak sawit sebagai bahan utama dalam formulasi sabun mandian. 

 

Usahawan yang berminat dipelawa menjalankan ujian prapemasaran mereka di kemudahan sedia ada yang terletak di ibu pejabatnya di Bandar Baru Bangi.

 

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Pusat Inkubasi Oleokimia yang terletak di ibu pejabat MPOB ini menawarkan beberapa siri kemudahan untuk ujian prapemasaran bagi pengeluaran pelbagai jenis sabun berasaskan sawit.

 

Katanya, perkhidmatan tersebut menawarkan pakej lengkap yang terdiri daripada formula, kemudahan ujian kualiti dan pasukan kakitangan dan pegawai yang cekap bagi membantu pihak yang berminat untuk mengendalikan kemudahan dan merumuskan ramuan sawit ke dalam produk yang dikehendaki.

 

"MPOB telah melabur kira-kira RM400,000 untuk loji rintis sabun pertamanya yang kemudiannya dinaik taraf dengan loji rintis sabun Mazzoni serba baharu. 

 

"Loji rintis ini mempunyai kapasiti 10 kilogram bagi setiap kumpulan. Setiap pelanggan biasanya menggunakan kemudahan untuk percubaan pengeluaran 1,000 buku sabun," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

mpob
Sabun berasaskan sawit dibangunkan dengan bahan-bahan asli dari sumber semula jadi, selamat dan mesra alam.

 

 

Menurut Ahmad Parveez, terdapat juga beberapa syarikat dari luar negara, terutama Timur Tengah yang mendapatkan khidmat perundingan analitikal seperti Yemen Co. for Ghee and Soap Industry dari Taizz di Yaman. 

 

Sabun berasaskan sawit dibangunkan dengan bahan-bahan asli dari sumber semula jadi, selamat dan mesra alam, yang sesuai dengan permintaan pengguna masa kini.

 

Penambahan bahan aktif memberikan fungsi unik dan ‘niche’ kepada sabun yang mana ia merupakan strategi dalam pemasaran produk.

 

Penyelidik-penyelidik cekap MPOB memudahkan syarikat-syarikat berkenaan untuk merumuskan pelbagai jenis sabun dengan bahan tambahan daripada ekstrak dan serbuk herba yang unik.

 

Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (ToT) tahunan MPOB telah menjadi platform bagi MPOB dan rakan usaha samanya untuk mengumumkan teknologi terkini yang tersedia untuk dikomersialkan. - DagangNews.com