KUALA LUMPUR 7 Nov - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menjangkakan sedikit perubahan kepada pengeluaran minyak sawit Malaysia untuk tahun ini berbanding 2022, dengan harga minyak sawit mentah berlegar sekitar RM4,000 satu tan.
"Menuju ke penghujung tahun, kami masih berharap boleh mencapai lebih daripada paras tahun lepas, iaitu 18.5 juta tan metrik," kata Ketua Pengarah MPOB, Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Ahmad Parveez berkata pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) negara bagi sembilan bulan pertama 2023 hanya 0.5% lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas.
Beliau berkata demikian pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB (PIPOC 2023) di sini hari ini, lapor Bernama.
Beliau menyatakan bahawa September dan Oktober biasanya merupakan bulan yang baik untuk pengeluaran, tetapi perubahan corak cuaca baru-baru ini telah mengubahnya, sementara kesan El Nino hanya dapat dilihat dalam tempoh enam bulan akan datang.
Sementara itu, Ahmad Parveez berkata permintaan MSM dijangka meningkat sedikit menjelang musim perayaan, dengan India mengisi semula MSM untuk Deepavali diikuti China dan negara-negara Islam untuk Tahun Baharu Cina dan Ramadan serta Hari Raya Aidilfitri.
Terdahulu, beliau membentangkan tujuh cabaran dihadapi industri iaitu isu kemampanan, dakwaan penebangan hutan dan kemusnahan biodiversiti, perubahan iklim, isu keterjaminan makanan dan produktiviti.
Menegaskan keperluan untuk meningkatkan kelestarian, Ahmad Parveez berkata kerajaan telah menjadualkan semula tempoh peralihan standard Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) 2015 atau MSPO 1.0 kepada MSPO 2022 atau MSPO 2.0 yang disemak dari Ogos 2023 kepada Disember 2024.
"Syarikat dan pekebun kecil diberi tempoh 17 bulan untuk menaik taraf amalan mereka kepada piawaian MSPO disemak semula, yang terdiri daripada lapan bahagian," katanya.
Piawaian MSPO direka bentuk untuk mencapai keseimbangan antara kemakmuran ekonomi, perlindungan alam sekitar dan pembangunan sosial dan telah diperkenalkan pada 2015.
Piawaian berkenaan mengandungi lima prinsip yang terdiri daripada komitmen dan tanggungjawab pengurusan; ketelusan; pematuhan dengan keperluan undang-undang dan keperluan lain; tanggungjawab terhadap keadaan sosial, kesihatan, keselamatan dan pekerjaan; dan alam sekitar, sumber asli, biodiversiti dan perkhidmatan ekosistem.
Minyak sawit kekal sebagai antara sektor paling penting dalam ekonomi Malaysia, menyumbang 3.04% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2022, dengan jumlah hasil eksport RM137.89 bilion. - DagangNews.com








