KUALA LUMPUR 3 April - Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan China Chamber of Commerce of Import and Export of Foodstuffs, Native Produce and Animal By-products (CFNA) untuk meningkatkan perdagangan dan kerjasama dalam sektor minyak sawit antara kedua-dua negara dalam bidang berkaitan penstabilan rantaian bekalan minyak sawit.
MPOB dalam kenyataan memaklumkan, China berhasrat untuk bekerjasama dengan Malaysia untuk menjamin bekalan minyak sawit ke negara tersebut.
Katanya, MoU tersebut akan membantu meningkatkan keyakinan China terhadap minyak sawit Malaysia.
"Ia turut menjamin kedudukan minyak sawit Malaysia dan dengan itu mendapatkan semula bahagian pasaran negara ini di China.
"Selain itu, MoU itu akan memudahkan penyertaan China dalam penerokaan teknologi dalam mekanisasi sawit di Malaysia yang akan membantu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh dalam perladangan," katanya.
Terdahulu, MoU itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) MPOB, Dr Zainab Idris dan Presiden CFNA, Cao Derong, di Beijing, China baru-baru ini.
China adalah rakan dagang utama Malaysia Malaysia bagi minyak sawit dan produk berasaskan sawit selepas India. Nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke RRC bagi tahun 2022 adalah sebanyak 3.14 juta tan (RM14.86 bilion).

Katanya, kandungan utama MoU itu termasuklah menukar dan menyebar maklumat pasaran mengenai minyak sawit dan menggalakkan penstabilan rantaian bekalan minyak sawit di Malaysia dan China.
"Selain itu, ia menggalakkan penstabilan rantaian bekalan minyak sawit di kedua-dua negara serta menggalakkan minyak sawit dan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) untuk kegunaan dalam makanan, bukan makanan, bio bahan api dan makanan ternakan.
Katanya, ia juga menggalakkan penerokaan, rekaan dan implementasi teknologi baharu dalam ladang sawit seperti kecerdasan buatan (AI), rangkaian mudah alih generasi kelima (5G), internet kebendaan (IOT) dan kenderaan swapandu, selain meningkatkan penjalinan melalui anjuran bersama persidangan dan/atau latihan. - DagangNews.com








