KUALA LUMPUR 20 Julai - MPI Generali Insurans Berhad memperkenalkan perkhidmatan pengambilan dan penghantaran kereta (PnD) secara percuma kepada pelanggan bagi memudahkan urusan servis kereta mereka, selain memberikan perkhidmatan cepat, selamat dan bantuan kenderaan inovatif.
MPI Generali bersedia untuk menyediakan perkhidmatan PnD kepada pemegang polisi insurans motor sedia ada mereka di Malaysia dengan jumlah diinsuranskan RM50,000 dan ke atas.
Perkhidmatan itu adalah inisiatif bersama dengan Europ Assistance, syarikat bantuan Kumpulan Generali.
Perkhidmatan PnD MPI Generali boleh diakses melalui portal pelanggannya, yang mana seorang wakil dari Europ Assistance akan mengambil kereta pemegang polisi di lokasi pilihan mereka, kemudian dibawa ke tempat servis yang dijadualkan, seterusnya dikembalikan sama ada ke lokasi baharu atau sama.
Kemudahan PnD meliputi pengendalian logistik kereta untuk pelbagai perkhidmatan, daripada servis kereta biasa, cucian kereta dan pembaikan kemalangan kecil, untuk jumlah tanpa had setiap tahun.
Perkhidmatan itu tersedia di Lembah Klang pada Isnin hingga Sabtu bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang, untuk pemegang polisi 'MPI Generali Private Car Comprehensive' yang aktif.
Ketua Pegawai Eksekutif MPI Generali, K.G. Krishnamoorthy Rao berkata, pihaknya telah belajar selepas pandemik, bahawa adalah penting untuk berinovasi dan terus berada di hadapan, terutamanya dalam bidang insurans.

"Walaupun kami yakin dengan trajektori pertumbuhan pada 2022, kami berhasrat untuk membezakan diri kami dengan menjadi yang pertama di Malaysia, untuk menawarkan perkhidmatan PnD kepada pemegang polisi kami secara percuma.
“COVID-19 telah mengubah landskap kerja. Pelanggan hanya perlu mengakses aplikasi atau portal untuk mendapatkan kereta mereka dengan selamat, diservis dan dibawa balik tanpa sebarang bayaran.
“Menjadi yang pertama dalam industri memperkenalkan ini adalah langkah strategik bagi kami. Kami menjangkakan bahawa ini akan memberi kesan positif kepada sasaran hasil kami, kerana kami menyasarkan untuk berkembang sebanyak 20% dalam tempoh setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Europ Assistance Malaysia, Philippe Demangeat pula berkata, pihaknya telah melihat pertumbuhan yang sangat menjanjikan dalam bidang PnD di Malaysia sejak mereka bermula.
"Bekerjasama dengan MPI Generali akan mempercepatkan pembangunan kami di Malaysia sambil menyediakan perkhidmatan yang membezakan dan berinovasi kepada pelanggan MPI Generali," katanya. - DagangNews.com








