JAKARTA 6 April - Memorandum persefahaman (MoU) bagi pembantu rumah Indonesia di Malaysia akan menjadi penanda aras untuk MoU dengan negara tujuan lain, kata Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Ida Fauziyah.
Beliau berkata MoU itu telah memberikan perlindungan lebih baik dan sangat komprehensif melalui peraturan seperti gaji, cuti mingguan, jaminan sosial dan penguatkuasaan undang-undang.
Melalui ciapan dalam akaun Twitter rasmi kementerian, beliau berkata negaranya sedang mengembangkan kerja sama bilateral dengan beberapa negara lain berkaitan perlindungan pekerja.
Berdasarkan Fasal 31 Undang-undang 18 Tahun 2017, tenaga kerja Indonesia hanya dapat ditempatkan di negara tujuan yang memiliki peraturan yang melindungi tenaga kerja asing.
Menurut Ida Fauziyah, Malaysia telah memenuhi banyak kriteria yang telah ditetapkan oleh kerajaan Indonesia di dalam MoU yang dimeterai pada April 1.
Ia termasuk penerapan sistem saluran tunggal, memberi informasi mengenai peraturan, undang-undang, adat serta budaya tempatan kepada pembantu rumah.
Memastikan hanya majikan yang layak untuk menggajikan amah dan pastikan mereka mematuhi undang-undang.
Perkongsian maklumat mengenai majikan, pembantu rumah dan agensi untuk tujuan saringan dan senarai hitam.
Pada 2 April, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata Malaysia sentiasa komited untuk melaksanakan MoU seperti yang disepakati kedua negara, lapor Bernama.
Bagaimanapun, beliau menekankan kerajaan hanya boleh memantau pekerja yang datang secara sah dan menyeru negara-negara sumber turut memainkan peranan. - DagangNews.com








