MoU amah Indonesia ditangguh ke April 2022 | DagangNews Skip to main content

MoU amah Indonesia ditangguh ke April 2022

KUALA LUMPUR 15 Mac - Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia membabitkan kemasukan pembantu rumah dari Indonesia yang dijadual berlangsung minggu ini, terpaksa ditangguhkan ke bulan hadapan.

 

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, berkata ia ditangguhkan ke tarikh baharu kerana jadual pemimpin tertinggi kedua-dua negara bertembung dengan agenda lain.

 

Justeru, beliau berkata, kedua-kedua negara perlu mencari tarikh baharu tetapi ia tertakluk kepada perubahan jadual saat akhir membabitkan jadual kedua-dua pemimpin tertinggi itu.

 

"Ada perkembangan baharu. Tidak boleh berlangsung pada minggu ini. Kemungkinan bulan depan (April).

 

"Sebabnya, jadual Perdana Menteri Malaysia (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Presiden Indonesia (Joko Widodo) tidak boleh (hadir) pada minggu ini kerana masing-masing sudah ada agenda. Perubahan saat akhir.

 

"Malaysia mencadangkan 17 Mac ini tetapi Presiden Joko Widodo tidak dapat (hadir) kerana ada agenda di luar Jakarta. Jadi, Indonesia mencadangkan 18 Mac tetapi Ismail Sabri pula ada agenda. Kita sedang mencari satu tarikh baharu yang boleh dipersetujui untuk tandatangan pada April," katanya, lapor Berita Harian.

 

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, mengenai MoU membabitkan pembantu rumah akan ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia pada minggu ini.

 

Bercakap dalam sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Sumber Manusia di Dewan Rakyat semalam, Saravanan berkata, MoU itu akan ditandatangani di Jakarta, Indonesia.

 

Sebelum ini, rundingan pengambilan dan kemasukan pembantu rumah warga Indonesia ke Malaysia yang dimulakan sejak 2017, gagal diselesaikan apabila MoU yang dijadual dimeterai kedua-dua negara awal bulan ini ditangguhkan.

 

Beberapa siri perbincangan diadakan di antara kedua-dua negara serumpun itu sejak November 2017 dan November 2018, namun gagal memuktamadkan MoU baharu.

 

Kerajaan kemudiannya menjangkakan perjanjian dimeterai awal tahun ini.

 

Isu keperluan pembantu rumah Indonesia pernah dibangkit pada sidang Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu, berikutan agensi pekerja asing di negara ini tidak mempunyai sumber bekalan pembantu rumah asing sejak 2016. - DagangNews.com