MOSTI bakal lancar program MYHackathon pada Jun 2022 | DagangNews Skip to main content

MOSTI bakal lancar program MYHackathon pada Jun 2022

Datuk Seri Dr Adham Baba (tengah) ketika pelancaran edisi ketiga siri jelajah MYStartup Roadshow di Pulau Pinang. - Gambar FB Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

GEORGETOWN 24 MEI - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensi di bawahnya, Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) akan meneruskan program MYHackathon Edisi 2022 yang bakal dilancarkan pada Jun 2022.

 

Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, program itu menyasarkan lebih banyak inovasi oleh syarikat-syarikat pemula untuk menambahbaik sistem penyampaian kerajaan. 

 

"MOSTI menyasarkan lebih daripada 300 penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat antaranya melibatkan start-up, inovator tempatan dan para pelajar universiti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain itu, Dr. Adham turut melancarkan edisi ketiga siri jelajah MYStartup Roadshow anjuran MOSTI menerusi Cradle di Pulau Pinang, dengan meneruskan kesinambungan momentum dan usaha dalam mewujudkan sebuah ekosistem start-up yang terangkum dan kondusif.

 

"Siri jelajah MYStartup Roadshow merupakan sebahagian daripada usaha untuk memastikan komuniti start-up di luar kawasan Lembah Klang tidak terlepas daripada turut terlibat dan mendapat manfaat daripada acara-acara pemerkasaan start-up melalui Program MYStartup. 

 

“MOSTI bersama-sama pihak Cradle berasa bangga dapat bekerjasama serta mendapat sokongan daripada rakan komuniti dan teknikal seperti Digital Penang, Invest Penang, dan Universiti Sains Malaysia dalam usaha memajukan lagi komuniti start-up di Pulau Pinang khususnya. Turut hadir bagi menyokong acara dua hari ini adalah pihak Microsoft Malaysia dan SIRIM," katanya.

 

Start-up yang hadir di acara dua hari berkenaan berpeluang mendapatkan maklumat dan hebahan mengenai program-program yang dilaksanakan MOSTI secara terus. 

 

 

mosti
Datuk Seri Dr Adham Baba

 

 

Turut diadakan adalah sesi penerangan berkenaan Pelan Hala Tuju Ekosistem Start-up (SUPER), kaedah-kaedah penyertaan program bagi para start-up, kriteria-kriteria bagi memohon geran, pemadanan perniagaan dengan dana bersesuaian, sesi networking dan juga pelbagai bengkel.

 

Hari kedua siri jelajah menampilkan acara suai kenal ‘MYStartup Meet & Pitch’ yang menyediakan ruang bagi start-up jemputan dari sektor Teknologi Baharu Muncul dan Elektrikal & Elektronik (E&E) untuk membuat pembentangan (pitching) secara langsung kepada para pelabur yang terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat modal teroka (venture capital) serta pelabur-pelabur mangkin.

 

Selain itu, MYStartup Roadshow kali ini turut mengetengahkan sesi ramah mesra bersama start-up jemputan seperti Easy Parcel, Niagawan, Neptrix dan Havva Agrotech pada hari kedua program.

 

Dilancarkan pada awal tahun 2022, Program MYStartup terdiri daripada beberapa program yang bertujuan memperkasakan ekosistem dan komuniti start-up di Malaysia melalui pengisian yang menumpukan kepada pembangunan serta perkembangan start-up secara mampan serta pembangunan kapasiti dan modal insan.

 

Bermula pada 23 Mei 2022, platform sehenti bagi start-up di Malaysia, Portal MYStartup, telah menampilkan ciri baharu di mana para pengguna berdaftar portal berkenaan boleh mengemaskini profil start-up mereka. 

 

Profil yang lengkap dengan butiran dan maklumat terkini dapat mengukuhkan lagi kebarangkalian pemadanan start-up dengan bakal pelabur. 

 

Dr. Adham turut berbesar hati menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Cradle dan Digital Penang selaku rakan pelaksana siri jelajah edisi Pulau Pinang. 

 

Menerusi MoU yang dimeterai, pihak Digital Penang, sebuah syarikat milikan penuh kerajaan negeri Pulau Pinang, akan bekerjasama dengan Cradle dalam menjayakan semua program dan aktiviti di bawah naungan Program MYStartup di negeri tersebut.

 

Maklumat lanjut mengenai ekosistem start-up Malaysia, program-program yang bakal dianjurkan Cradle dan juga maklumat berkenaan hentian siri jelajah ‘MYStartup Roadshow’, start-up, pelabur, pemain industri dan pembina ekosistem, sila layari dan mendaftar di platform MYStartup di www.mystartup.gov.my. - DagangNews.com