KUALA LUMPUR 28 Julai - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SAMENTA) berharap kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Pekerjaan Masa Depan dengan segera bagi membolehkan lebih ramai rakyat mengecapi dividen pertumbuhan ekonomi negara.
Presiden SAMENTA, Datuk William Ng berkata, ini kerana PKS kurang selesa dengan model gaji progresif yang dirancang dan meminta jawatankuasa tersebut diwakili pemimpin sektor swasta dan awam.
"Kami bersetuju bahawa gaji di Malaysia terlalu rendah, dan harus disemak semula. Tetapi ini tidak boleh dilakukan secara terburu-buru, dan mesti disertai dengan peningkatan dalam produktiviti buruh dan margin keuntungan.
"Sebahagian besar daripada sebab gaji tidak berubah-ubah adalah bersifat struktural – budaya pembelajaran yang merosot, ketidakpadanan dalam hasil pendidikan dan keperluan industri, tenaga kerja yang tidak lagi mahukan pampasan berasaskan masa, dan persaingan sengit serantau untuk bakat pekerja.
"Ini tidak boleh diselesaikan dengan hanya memaksa perniagaan membayar lebih," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Ng, kerajaan terus memberi penekanan untuk memperlahankan penyahindustrian pramatang negara, melalui usaha seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP).
"Ini bagus dan tepat. Tetapi kita juga mesti memberi penekanan yang sama kepada inovasi asli dan beralih daripada naratif 'Buatan Malaysia' kepada paradigma 'Innovasi Malaysia'.

"Ini bermakna jika kita masih meneruskan pendekatan berasaskan insentif untuk menarik pelaburan langsung asing, kita perlu mewajibkan pemindahan teknologi dan bantuan dalam memperkenalkan inovasi Malaysia ke dalam rantaian bekalan global, sebagai antara kriteria untuk insentif tersebut," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, kerangka Ekonomi MADANI akan merancakkan ekonomi dan memacu pertumbuhan industri, termasuk PKS.
Katanya, pasaran yang kurang rancak sejak berakhirnya pandemik sebenarnya menantikan kerangka ekonomi baharu dan Ekonomi MADANI membolehkan hala tuju dan naratif baru yang sangat diperlukan ekonomi negara.
"SAMENTA sekian lama telah menegaskan bahawa cabaran terbesar bagi PKS bukanlah aliran tunai yang lemah atau kekurangan peluang perniagaan, tetapi margin perniagaan yang rendah akibat produktiviti buruh yang kurang memberangsangkan.
"Kerajaan tepat dalam usaha membetulkan ketidakpadanan buruh dan menambah baik gaji rakyat sambil mewajibkan peningkatan kemahiran dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat. Apabila produktiviti buruh bertambah baik, secara semula jadinya perniagaan akan dapat membayar gaji jauh lebih tinggi," ujar beliau.
Katanya, penambahan pembiayaan RM100 juta untuk geran pendigitalan, RM20 juta untuk Geran Pembangunan Pasaran (MDG) dan Program Pembangunan Syarikat Pertengahan (MTCDP), dan tambahan RM400 juta untuk pembiayaan mikro, dialu-alukan ketika negara sedang menggalakkan PKS untuk mendigitalkan perniagaan mereka, mengurangkan pergantungan kepada tenaga pekerja, dan mengglobalisasikan perniagaan. - DagangNews.com








