KUALA LUMPUR 12 Ogos - Anak syarikat MMAG Holdings Berhad, MJets Air Sdn Bhd memeterai perjanjian perkongsian trafik penerbangan dengan All Nippon Airways Co., Ltd. (ANA) untuk mewujudkan perkongsian strategik baharu antara kedua-dua pihak.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, MMAG berkata, perjanjian berkenaan dimeterai MJets Air dengan syarikat penerbangan terbesar Jepun itu pada 9 Ogos 2024.
"Perkongsian strategik antara MJets Air dan ANA menyediakan kerjasama melalui kekuatan dan rangkaian gabungan untuk mengoptimumkan operasi kargo, memperkemaskan proses dan meningkatkan kecekapan, memberikan kelebihan bersama kepada kedua-dua syarikat dan pelanggan mereka.
"Perjanjian ini dijangka mengukuhkan penyambungan antara Asia Tenggara, China, Jepun, dan wilayah Asia yang lebih luas, memastikan aliran kargo yang lebih lancar dan cekap di pasaran-pasaran utama ini sambil membolehkan kedua-dua syarikat penerbangan menawarkan rangkaian perkhidmatan yang lebih komprehensif dengan memanfaatkan kapasiti kargo masing-masing," katanya hari ini.
Menurut MMAG, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengangkut penghantaran masing-masing pada laluan tertentu mengikut kadar dan terma serta syarat lain yang dinyatakan dalam perjanjian.
ARTIKEL BERKAITAN: MMAG meterai perjanjian kerjasama penghantaran kargo dengan Teleport
"Kadar akan ditentukan berdasarkan pengangkutan sebenar yang dilaksanakan oleh setiap pihak sepanjang tempoh perjanjian.
"Perjanjian ini akan berkuat kuasa mulai 10 Ogos 2024 dan akan kekal berkuat kuasa sepenuhnya kecuali ia ditamatkan oleh salah satu pihak dengan memberikan notis bertulis 30 hari kepada pihak yang satu lagi," jelasnya.
Perjanjian ini tidak dijangka memberi impak material segera ke atas aset bersih, pendapatan, dan tahap gear MMAG Group.
"Lembaga Pengarah menjangkakan bahawa Perjanjian ini akan memberi sumbangan positif kepada aset bersih dan pendapatan keseluruhan MMAG Group untuk tahun kewangan yang berakhir pada 30 September 2024," ujarnya. - DagangNews.com








