KUALA LUMPUR 13 April - Penjualan saham Media Prima Bhd. oleh pemegang saham ketiga terbesarnya, Mitsubishi UFJ Financial Group Inc. (MUFJ) mungkin menyebabkan kebimbangan berlakunya lebihan saham tidak terjual dalam tempoh jangka penjek.
Bagaimanapun, penganalisis CGS-CIMB Research, Kamarul Anwar Kamaruddin berkata, ia memberi peluang kepada pelabur jangka panjang untuk mengumpul saham syarikat media gergasi itu.
"Selain itu, penjualan saham MUFJ akan meningkatkan kecairan Media Prima, kerana 3 pemegang saham terbesar kumpulan itu kini memiliki 62.7% kepentingan daripada syarikat ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Berdasarkan data dalam nota kajian itu, ia menunjukkan bilionair terkemuka di negara ini, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary memiliki 31.9% pegangan dalam Media Prima diikuti bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (20.1%) dan MUFJ (10.7%).
Harga penutupan saham Media Prima melonjak sehingga 61.7%, daripada 40.5 sen pada 3 Januari 2022 kepada 65.5 sen pada 23 Mac 2022.
Malangnya, saham itu telah mengurangkan keuntungannya untuk ditutup pada 62 sen pada 11 April 2022.
"Kami berpendapat, penurunan ini disebabkan MUFJ menjual saham Media Prima. Dana itu telah menjual saham ini setiap hari sejak 22 Mac, dengan jualannya merangkumi 76.4% daripada volum dagangan harian kaunter setakat ini," jelasnya.
Dalam nota kajian sebelum ini bertarikh 16 Jun 2021, Kamarul Anwar berkata, pemerhatian firma mendapati MUFJ mengurangkan pegangan dalam Media Prima sebaik sahaja sahamnya mencecah paras 60 sen.
"MUFJ telah berbuat demikian walaupun purata kos pelaburannya ialah 77.6 sen sejak ia muncul sebagai pemegang saham besar pada 4 April 2017, berdasarkan pengiraan kami," katanya.
Menurutnya, setakat 8 April, MUFJ masih memiliki 118.65 juta saham atau 10.7% pegangan dalam Media Prima.
Katanya, walaupun dana itu mungkin mahu mengurangkan pegangannya dalam syarikat berkenaan, tetapi ia juga berkemungkinan ingin mengaut keuntungan daripada saham Media Prima yang dibelinya pada harga yang jauh lebih rendah.
"Selepas menyemak data Bloomberg mengenai harga purata wajaran volum Media Prima dan pemfailan Bursa Malaysia mengenai urus niaga pasaran terbuka MUFJ, kami mendapati bahawa MUFJ telah membeli 22.8 juta saham Media Prima pada harga antara 33 hingga 66 sen.
"Sejak 12 April 2021, MUFJ telah melupuskan 24.2 juta unit saham dalam syarikat ini," tambahnya.
Namun, secara keseluruhan, CGS-CIMB mengekalkan saranan 'tambah' terhadap Media Prima dengan harga sasaran pada 96 sen.
Ia menjangkakan kumpulan akan merekodkan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 8.7% pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2021 (FY21)-FY24.
"Pembukaan semula ekonomi telah meningkatkan lagi jualan iklan Rangkaian Televisyen Media Prima dengan data Nielsen Malaysia menunjukkan perbelanjaan pengiklanan (adex) meningkat 4.9% tahun ke tahun pada Februari 2022," katanya.
Setakat 10.20 pagi, saham Media Prima susut 0.5 sen atau 0.83% kepada 59.5 sen dengan 329,700 saham diniagakan. - DagangNews.com








