MITI tambah baik garis panduan AP untuk kenderaan elektrik - Tengku Zafrul | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MITI tambah baik garis panduan AP untuk kenderaan elektrik - Tengku Zafrul

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 23 Feb - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menambah baik garis panduan semasa permit import (AP) untuk memberikan fleksibiliti ke atas kuantiti maksimum pengimportan kenderaan secara yang dipasang sepenuhnya (CBU) bagi kajian pasaran pra-pemasangan (Market Research Pre-Assembly - MRA) untuk kenderaan elektrik (EV).

 

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, penambahbaikan itu penting supaya syarikat-syarikat pemasangan tempatan lebih berpeluang menilai keperluan pasaran baharu untuk segmen EV sebelum memulakan pengeluaran. 

 

Katanya, kementerian juga sedang berbincang dengan syarikat pengeluar kenderaan tempatan, Proton dan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) untuk mempercepatkan pengeluaran EV nasional dan menawarkannya dengan harga mampu milik.

 

"Langkah penambahbaikan ini juga dijangka akan memberi lebih pilihan EV untuk ditawarkan dalam pasaran kepada rakyat," katanya pada sesi penggulungan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.

 

Sementara itu, mengulas mengenai hala tuju MITI bagi mendepani tahun 2023 dalam aspek meningkatkan pelaburan strategik, penjanaan peluang pekerjaan dan pembangunan kluster perindustrian baharu yang dibangkitkan ketika sesi perbahasan Dewan Rakyat, Tengku Zafrul berkata, MITI telah memperkenalkan Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional yang telah dilancarkan pada 6 Oktober 2022 bagi mempercepatkan pertumbuhan jangka panjang Malaysia melalui pelaburan berkualiti yang mampan dalam bidang pertumbuhan baharu.

 

"Bagi tempoh Januari sehingga September 2022, Malaysia telah menarik sejumlah RM193.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sektor perkhidmatan dan sektor utama yang melibatkan 2,786 projek dan dijangka mewujudkan 98,414 peluang pekerjaan di negara ini,” katanya.

 

Menjawab persoalan Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai pelaburan yang direkodkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Tengku Zafrul berkata, secara umumnya, projek-projek yang diluluskan akan mengambil masa antara 12 hingga 24 bulan untuk dilaksanakan.

 

 

zafrul
                                                   Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

 

 

"Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan tersebut, jumlah pelaburan yang direalisasikan adalah antara 75% hingga 80% dan kita harus memantau proses ini," katanya. - DagangNews.com