KUALA LUMPUR 3 Okt - EP Manufacturing Berhad (EPMB) kini diberi kelulusan sepenuhnya oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memasang dan mengeluarkan kenderaan elektrik beroda dua (EV) menerusi kemudahan pembuatannya yang akan datang di Glenmarie, Shah Alam.
Anak syarikat milik penuh EPMB, EP Blueshark Sdn Bhd (EP Blueshark) pada 26 September 2022 telah menerima Lesen Pengilangan daripada MITI untuk menjalankan aktiviti pemasangan motosikal elektrik.
Kebenaran itu, yang telah diberikan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975, akan diguna pakai secara retrospektif mulai 25 Julai 2022.
Lesen Pengilangan itu membolehkan EP Blueshark mengimport komponen motosikal elektrik dalam bentuk Semi Knocked Down (SKD) dan/atau Completely Knocked Down (CKD) dan dipasang serta dikilangkan di Malaysia untuk diedarkan ke pasaran tempatan dan ASEAN.
Menyingkap kembali, EPMB telah bekerjasama dengan Sharkgulf Technologies Group Ltd yang berpangkalan di China untuk memasang, mengeluarkan dan mengedarkan EV dua roda berjenama Blueshark di Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain.
Dengan Lesen Pengilangan daripada MITI, EPMB bersedia untuk mempercepatkan perjalanannya untuk melancarkan 50,000 unit EV dua roda BlueShark secara komersial setiap tahun untuk tahun awal.
Ia bagi memenuhi permintaan serantau secara segera. Selepas itu, EPMB akan bertindak balas terhadap peningkatan permintaan, dan kapasiti selanjutnya.

Pengerusi Eksekutif EPMB, Hamidon Abdullah berkata, pihaknya sudah selangkah lebih dekat untuk mewujudkan kemudahan pembuatan baharunya untuk EV beroda dua, dengan lesen yang diberikan MITI.
"Kami menjangkakan untuk memulakan pembinaan kilang pembuatan pada awal tahun 2023 dan menyasarkan untuk menyiapkannya menjelang S3 2023.

"Kemudahan pembuatan bukan sahaja akan maju dari segi teknologi tetapi juga akan menggaji sekurang-kurangnya 80% rakyat Malaysia dalam tenaga kerja dan melatih mereka melalui pemindahan kemahiran dan teknologi," katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh 3 hingga 10 tahun akan datang, negara Asia Tenggara dijangka menyaksikan pertumbuhan yang ketara dalam pasaran EV beroda dua, mengatasi Eropah dan Asia Timur.
"Dan saya berbangga untuk mengatakan bahawa EPMB akan menjadi pemain terkemuka dalam pasaran untuk meraih potensi pertumbuhan ini," katanya. - DagangNews.com








