KUALA LUMPUR 5 Jun - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan Jatronics Sdn Bhd bukanlah pengeluar semikonduktor di Malaysia seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Kata MITI, Jatronics ialah sebuah syarikat perdagangan Malaysia yang terlibat terutamanya dalam perdagangan dan pemborong perkhidmatan semikonduktor dan fabrikasi.
"Jatronics telah didakwa membekalkan komponen elektronik kepada firma Rusia yang dikaitkan dengan kompleks industri ketenteraan dan baru-baru ini telah ditambah ke dalam senarai sekatan unilateral AS.
"MITI ingin menekankan bahawa tindakan Jabatan Perbendaharaan AS terhadap Jatronics adalah sebahagian daripada sekatan yang lebih luas yang menyasarkan 300 entiti dari pelbagai negara, termasuk China, Belgium, Türkiye, Slovakia dan UAE, berkaitan dengan konflik Ukraine-Rusia," katanya dalam kenyataan media hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Amerika Syarikat kenakan sekatan terhadap syarikat semikonduktor Malaysia
Dilaporkan sebelum ini bahawa AS mengenakan sekatan terhadap Jatronics kerana dakwaan membekalkan komponen penting elektronik untuk ketenteraan Rusia.
Kata kementerian itu, Malaysia menguatkuasakan Pengurusan Perdagangan Strategik (STM) melalui Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010) yang mengawal selia eksport, transit, pemindahan dan pembrokeran barangan strategik terutamanya yang berpotensi digunakan untuk membangunkan senjata tentera yang canggih.
"STM memerlukan syarikat pengeksport dan mereka yang dalam rantaian bekalan untuk menjalankan semua usaha yang diperlukan untuk memastikan maklumat penting iaitu destinasi akhir, pengguna akhir dan penggunaan produk.
"Berdasarkan rekod, Jatronics bukan syarikat berdaftar di bawah STA 2010 dan tidak memohon permit eksport," jelas kenyataan itu.
MITI juga ingin menjelaskan bahawa Malaysia mematuhi sekatan pelbagai hala dan menerima pakai "senarai pengguna akhir terhad atau dilarang" di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR).
"Rusia tidak disenaraikan oleh UNSCR dan oleh itu tidak termasuk di bawah STA 2010," ujarnya.
MITI dalam pada itu menggesa syarikat-syarikat Malaysia supaya sentiasa peka dan mengambil maklum senarai sekatan yang dikenakan oleh negara lain, seperti Amerika Syarikat (AS).
Dalam kenyataannya, MITI menggesa para pengeksport supaya berwaspada dan sentiasa peka mengenai sebarang langkah sekatan perdagangan dan sekatan unilateral yang dikenakan oleh rakan dagangan utama untuk memastikan mereka tidak dikenakan sebarang sekatan atau halangan bukan tarif lain.
"MITI telah bekerjasama dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur mengenai sekatan unilateral AS sambil terus meningkatkan pemantauan urusan perdagangan antarabangsa pengeksport dan pengilang Malaysia.
"MITI juga akan meneruskan libat urus dengan rakan dagangan utamanya untuk menangani kebimbangan, menjelaskan pendirian neutral Malaysia, dan memastikan bahawa keputusan ekonomi kami terus menggalakkan persekitaran perdagangan global yang selamat dan terjamin," katanya..- DagangNews.com








