MISC catat untung bersih RM452.9 juta dalam 2QFY23, isytihar dividen 10 sen sesaham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MISC catat untung bersih RM452.9 juta dalam 2QFY23, isytihar dividen 10 sen sesaham

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Ogos - MISC Berhad catat keuntungan bersih RM452.9 juta dalam suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) berbanding kerugian bersih RM19.1 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pendapatan kumpulan pada suku berakhir 30 Jun 2023 tersebut turut meningkat 10.5% kepada RM3.5 bilion daripada RM3.2 bilion tahun lalu, sementara mencatat pendapatan sesaham sebanyak 10.1 sen berbanding kerugian sesaham 0.4 sen.

 

MISC juga mengisytiharkan dividen interim kedua 10 sen sesaham berjumlah RM446.4 juta yang akan dibayar pada 21 September 2023 bagi mereka yang memegang sahamnya setakat 12 September.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2023 (6MFY23), keuntungan bersih kumpulan telah melonjak hampir tiga kali ganda kepada RM1.07 bilion berbanding RM357 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatannya dalam tempoh berkenaan pula berjumlah RM6.6 bilion, meningkat 9% daripada RM6.08 bilion tahun lalu.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, MISC berkata pertumbuhan keuntungannya telah dipacu oleh margin kadar pengangkutan yang lebih tinggi dalam segmen petroleum dan penghantaran produk, serta keuntungan segmen perniagaan luar pesisir.

 

Bagaimanapun, katanya, segmen marin dan kejuruteraan berat mencatatkan kerugian operasi pada suku semasa berikutan peruntukan kos tambahan akibat penjadualan semula projek-projek yang sedang berjalan.

 

Mengulas mengenai prospek segmen aset dan rumusan gas, MISC berkata prospeknya dalam jangka pendek kekal positif berikutan pemulihan permintaan gas asli cecair (LNG).

 

Sementara itu, segmen petroleum dan penghantaran produk terus meningkatkan kualiti pendapatan dan kunci kira-kiranya melalui perniagaan kapal tangki ulang-alik khusus dan peremajaan armadanya dengan kapal tangki dwi-bahan api.

 

Segmen perniagaan luar pesisir pula kekal fokus untuk melaksanakan projek dimilikinya dan meminimumkan tekanan kos dan jadual, sambil mengejar peluang baharu dalam pasaran, manakala portfolio kontrak jangka panjang sedia ada akan terus menyokong prestasi kewangan segmen.

 

“Bagi segmen kejuruteraan marin dan berat, ia akan terus meneroka peluang dalam pasaran domestik dan antarabangsa dengan penekanan yang meningkat pada penyahkarbonan dan tenaga boleh diperbaharui," tambahnya. - DagangNews.com