Mini Karnival Usahawan Desa tarikan istimewa Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah | DagangNews Skip to main content

Mini Karnival Usahawan Desa tarikan istimewa Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Kedah

KUALA LUMPUR 26 Ogos - Program Mini Karnival Usahawan Desa yang mengetengahkan produk usahawan desa, antara keistimewaan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Negeri Kedah yang akan berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman di sini pada 2 hingga 4 September 2022.

 

Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri, Wan Azilawati Wan Mahmood berkata, program mini karnival itu dianjurkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) yang turut bertindak sebagai kementerian peneraju bagi Jelajah AKM kali ini.

 

“Jadi, keistimewaan yang akan kami bawakan di Kedah bukan setakat Jelajah AKM itu sendiri tetapi gabungan ataupun kolaborasi di antara jelajah itu dengan Mini Karnival Usahawan Desa.

 

“Selain itu, buat julung kalinya kami  bawakan forum kerohanian iaitu  forum perdana yang menampilkan Ustaz Badli Shah Alauddin dan Ustaz Abdullah Khairi," katanya menerusi temu bual sempena Jelajah AKM Negeri Kedah yang disiarkan di Bernama Radio hari ini.

 

Beliau berkata, program lain sempena Jelajah AKM kali ini ialah ‘Kenuri’ Rakyat Keluarga Malaysia yang akan diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Kuala Nerang pada 2 September 2022.

 

Wan Azilawati berkata pihaknya menjangkakan 10,000 Keluarga Malaysia di negeri ini akan menyertai program itu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selain pemimpin lain termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

 

Beliau berkata, program lain seperti perkhidmatan langsung dan pameran oleh kementerian serta agensi berkaitan, dengan 27 kaunter perkhidmatan kerajaan disediakan bagi menyantuni serta memberi khidmat kepada orang ramai.

 

“Selain itu, 12 kaunter bergerak pelbagai agensi turut disediakan termasuk JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang akan mengadakan diskaun saman sehingga 50%,” katanya.

 

Menurutnya, turut diadakan sepanjang tiga hari Jelajah AKM kali ini ialah Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Murah Keluarga Malaysia, Citarasa Keluarga Malaysia selain jualan oleh pengusaha industri kecil dan sederhana tempatan.

 

“Kita juga akan mengadakan program Gegaq@AKM Kedah pada malam kedua yang menampilkan artis tempatan serta pelancaran program basmi kemiskinan yang dibawakan khas oleh Unit Perancang Ekonomi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

 

Wan Azilawati berkata, orang ramai diharap dapat mengambil peluang daripada pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan sempena jelajah itu dan menghayati serta memahami objektif murni kerajaan di bawah konsep Keluarga Malaysia. - DagangNews.com