Mindef guna kepakaran tempatan panjangkan jangka hayat kereta kebal PT-91M Pendekar | DagangNews Skip to main content

Mindef guna kepakaran tempatan panjangkan jangka hayat kereta kebal PT-91M Pendekar

Kereta kebal PT-91M Pendekar.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 29 Mac - Tentera Darat terus menggunakan kereta kebal PT-91M Pendekar sekurang-kurangnya untuk tempoh 20 tahun setelah aset tersebut menjalani program pemanjangan jangka hayat (LEP).

 

LEP merupakan proses biasa yang perlu dilakukan pada aset-aset pertahanan termasuk melibatkan penggantian komponen-komponen dan sistem kritikal bagi meningkatkan prestasi.

 

Program LEP kereta kebal itu dijangka didaftarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) atau RMK13.

 

Ini sebagai penyediaan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan (Mindef) apabila program LEP kereta kebal PT-91M Pendekar dilaksanakan.

 

 

 

 

Tank
Kereta kebal PT-91M Pendekar menjadi tunjang kekuatan tempur Tentera Darat.

 

Daripada aspek usia, kereta kebal PT-91M Pendekar telah dioperasikan sejak 17 tahun lalu dan masih mempunyai tempoh panjang untuk digunakan.

 

Bagaimana pun, ia masih tertakluk kepada kajian yang sedang dilakukan pasukan teknikal Tentera Darat bersama pihak ketiga ketika ini membabitkan selenggaraan dan alat ganti.

 

Pelaksanaan kajian ini dibuat ke atas 2 buah kereta kebal bagi mengenalpasti permasalahan kritikal melibatkan transmisi RENK, komponen elektronik dan sistem sokongan kawalan tembakan.

 

Kajian telah dilaksanakan sejak Jun tahun lalu dan dijangka siap sepenuhnya bulan ini.

 

Pada masa sama, Mindef kini cenderung menggunakan kepakaran tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pengeluar komponen asal (OEM).

 

Tank
Sebahagian daripada kereta kebal PT-91 Twardy milik Poland.

 

Ini juga termasuk masalah tiada lagi pengeluaran pada sesetengah komponen utama kereta kebal tersebut. 

 

Kontrak senggaraan dan pembekalan alat ganti ini akan tamat pada September 2024 dan akan dilanjutkan sehingga September 2025.

 

Kereta kebal PT-91M Pendekar yang dibina firma Bumar Labedy, Poland dengan pengubahsuaian oleh jurutera Malaysia berasaskan kereta kebal T-72M1 Rusia.

 

Poland mengoperasikan lebih 200 buah kereta kebal PT-91 Twardy, malah dikatakan sebanyak 30 buah kereta kebal jenis ini disumbangkan kepada Ukraine yang berdepan dengan konflik.

 

Difahamkan pengeluar PT-91M Pendekar, Bumar Laberdy sudah menghentikan pengeluaran alat ganti kereta kebal jenis ini.

 

Tank
Pembelian PT-91M Pendekar memberi kemahiran baharu kepada Tentera Darat tentang pengoperasian kereta kebal.

 

Tank

 

Bagaimana pun, ini mungkin tidak menjadi masalah memandangkan varian kepunyaan Tentera Darat menggunakan komponen yang bercampur dengan sebahagian besar adalah buatan Eropah.

 

Sistem transmisi RENK dan sistem sokongan kawalan tembakan misalnya dibekalkan firma pengeluar dari Perancis.

 

Pada masa sama,  masih banyak negara menggunakan pelbagai varian kereta kebal  T-72 yang mempunyai persamaan dengan  PT-91.

 

Perolehan kereta kebal PT-91M Pendekar yang dimeterai Mindef pada tahun 2003 telah memberi dimensi baharu dalam kemampuan tempur Tentera Darat

 

Rekaan PT-19M yang berasaskan casis kereta kebal utama T-72M1 telah menjalani pengubahsuaian untuk memenuhi keperluan strategik peperangan armor di Malaysia.

 

Tank

 

Sebanyak 48 buah kereta kebal dibeli bersama kenderaan sokongan melibatkan nilai kontrak keseluruhan kira-kira RM1.4 bilion.

 

Beberapa prototaip dibina dan diuji termasuk mengalami beberapa kegagalan sebelum kumpulan pertama enam buah kereta kebal PT-91M tiba di negara pada Ogos 2007.

 

Penghantaran terakhir dari Poland diterima pada tahun 2011.

 

Sebagai pembelian baharu, perolehan kereta kebal ini memakan masa yang panjang sejak dirancang pada tahun 2002.

 

Tank

 

Kereta kebal PT-91M Pendekar merupakan aset bersifat ofensif berdaya musnah yang penting untuk pertahanan negara dan juga merupakan elemen cegah rintang pertahanan daratan. 

 

PT-91M dioperasikan oleh Rejimen Ke-11 Kor Armor Diraja di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada kekuatan Briged Tank Tentera Darat. - DagangNews.com