MIDF Research unjur kadar inflasi keseluruhan berada pada paras 3.2% pada tahun hadapan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research unjur kadar inflasi keseluruhan berada pada paras 3.2% pada tahun hadapan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Dis - MIDF Research mengunjurkan kadar inflasi keseluruhan berada pada paras 3.2% pada 2024 ekoran pengenalan subsidi bahan api bersasar yang akan dilancarkan seawal Mei tahun hadapan.

 

Katanya, kerajaan mungkin memperkenalkan mekanisme baharu harga apungan terurus bagi RON95 pada harga antara RM2.25 hingga RM2.35 seliter selain menyediakan pemberian tunai kepada mereka yang layak berpandukan data Hab Pangkalan Data Pusat (PADU). 

 

"Bagi tempoh 11 bulan 2023, purata inflasi makanan berada pada paras 5.1% dari tahun ke tahun bersamaan 5.7% pada tahun sebelumnya.

 

"Penyederhanaan kadar inflasi makanan adalah lebih pantas daripada jangkaan kami, justeru kami meramalkan pertumbuhan harga keseluruhan berada purata 2.7% untuk tahun ini. Inflasi bukan makanan dijangka purata pada 1.5%," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia perlahan kepada 1.5% pada November 2023 – DOSM

 

Terdahulu, kadar inflasi negara didorong oleh peningkatan perlahan restoran dan hotel (4.3%); makanan dan minuman bukan alkohol, (2.6%) dan kesihatan (2.3%).

 

Selain itu, beberapa kumpulan utama yang menunjukkan peningkatan adalah perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (1.7%) serta pengangkutan (0.1%).

 

Kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 29.5 % daripada keseluruhan wajaran Indeks Harga Pengguna (IHP) telah merekodkan peningkatan perlahan iaitu 2.6%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, inflasi bukan makanan dijangka meningkat sebanyak 2.5% manakala bekalan domestik yang lebih baik dan harga komoditi global yang normal akan mendorong kadar inflasi makanan lebih rendah pada 4.5% pada tahun hadapan. - DagangNews.com