MIDF Research 'potong' 10% unjuran keuntungan Gabungan AQRS bagi FY23 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research 'potong' 10% unjuran keuntungan Gabungan AQRS bagi FY23

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 23 Feb - MIDF Research mengurangkan unjuran pendapatan Gabungan AQRS Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) sebanyak 3.1% kepada RM371.7 juta ekoran margin segmen pembinaan yang lemah dan kekurangan kontrak baharu.

 

Sejajar dengan semakan semula itu, ia juga mengurangkan unjuran keuntungan teras sebanyak 10.3% kepada RM26.4 juta pada tahun kewangan berkenaan.

 

Segmen pembinaan kumpulan merekodkan prestasi mengecewakan tahun ini, dengan pengurangan sehingga 22.1% dalam hasil FY22 kepada RM206.5 juta manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) menjunam 84.4% kepada RM6.4 juta.

 

Prestasi lemah itu mungkin disebabkan kekurangan perolehan kontrak tahun ini, di samping beberapa projek sedang berjalan yang telah mencapai kemuncaknya pada FY21 dari segi kemajuan kerja.

 

Pada suku keempat sahaja, segmen pembinaanya merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM6.35 juta, disebabkan kos operasi yang lebih tinggi akibat kerugian rosot nilai bagi penghutang perdagangan.

 

Ini mendorong MIDF Research dalam nota kajiannya hari ini menyemak turun harga sasaran Gabungan AQRS kepada 44 sen daripada 49 sen dengan saranan 'beli' dikekalkan. 

 

Menurutnya, terdapat keperluan bagi kumpulan menambah nilai kontraknya untuk memastikan keterlihatan hasil yang lebih baik pada masa akan datang.

 

"Kekurangan pelancaran kontrak sudah pasti menjejaskan pemain yang lebih kecil seperti Gabungan AQRS dari segi projek baharu dan mereka juga tidak mempunyai kapasiti mencukupi berbanding pemain industri yang lebih besar untuk terlibat dalam projek di luar negara.

 

"Kebanyakan projeknya adalah berkaitan kerajaan, jadi pelancaran projek seperti sekolah, hospital, bangunan kerajaan dan infrastruktur asas akan menjadi petanda baik kepada kumpulan," katanya.

 

Pada FY22, untung bersih Gabungan AQRS meningkat kepada RM20.81 juta daripada RM16.54 juta manakala pendapatan juga meningkat kepada RM337.95 juta daripada RM326.14 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Setakat 11.22 pagi, harga sahamnya menokok 1.5 sen atau 4.69% kepada 33.5 sen dengan 3.86 juta saham diniagakan. - DagangNews.com