MIDF Research positif terhadap sektor automotif selepas berlaku pemulihan pasaran domestik | DagangNews Skip to main content

MIDF Research positif terhadap sektor automotif selepas berlaku pemulihan pasaran domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mac - MIDF Research kekal positif terhadap sektor automotif selepas berlaku permulihan dalam permintaan daripada pasaran domestik.

 

Firma penyelidkan itu berkata, pemulihan itu digambarkan menerusi peningkatan tempahan, sokongan permintaan daripada ketiadaa cukai jualan (SST) selain kadar faedah pinjaman yang rendah selain pemulihan pendapatan isi rumah.

 

"Kami menjangkakan jualan unjuran jualan kenderaan atau jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk Mac akan terus meningkat dengan angka yang lebih signifikan berdasarkan peningkatan pengeluaran dan waktu bekerja yang kembali normal.

 

"Tunggakan tempahan juga kekal stabil untuk tempoh antara tiga hingga enam bulan yang memberi bayangan trend penghantara akan siap dalam beberapa bulan dengan andaian tiada sebarang gangguan di bahagian pengeluaran," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu mengunjurkan pertambahan 13% dari segi pemulihan TIV 2022F kepada 575,000 unit dengan mengambil kira ketiadaan kawalan pergerakan dan didorong oleh permintaan yang kukuh.

 

Katanya, tambahan pengecualian cukai selama enam bulan akan menaikan unjuran mereka kepada 595,000 hingga 605,000 unit. 

 

"Potensi kenaikan jangkaan kami dipersetujui Persatuan Automotif Malaysia (MAA) yang memberi bayangan peningkatan ketara berbanding sasaran TIV 2022 sebanyak 600,000 sekiranya pengecualian SST diteruskan," katanya.

 

Ketika pengecualian SST disebut-sebut akan menyumbang kepada peningkatan jualan masa hadapan, namun ia terjejas akibat gangguan pengeluaran dan penghantaran semasa kawalan pergerakan yang menyebabkan penurunan sebanyak 12.6% dan 3.7% bagi 2020 dan 2021.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, MAA sudah menghantar rayuan kepada Kementerian Kewangan untuk memanjangkan tempoh pengecualian SST untuk kenderaan baharu.

 

"Ini adalah berikutan situasi kekurangan bekalan yang berterusan yang memberi kesan kepada keupayaan pengeluaran industri untuk memenuhi pesanan tertunggak yang dilanjutkan.

 

"Pengecualian SST dijangka berakhir pada Jun 2022 dan seiranya proses rayuan itu berjaya, ia akan menjadi pemangkin positif kepada sektor automotif," katanya. - DagangNews.com