MIDF Research: Pelabur asing jual RM151.11 juta ekuiti Malaysia dalam minggu dipendekkan sempena Hari Raya Aidilfitri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research: Pelabur asing jual RM151.11 juta ekuiti Malaysia dalam minggu dipendekkan sempena Hari Raya Aidilfitri

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 25 April - Pelabur asing menjual bersih RM151.11 juta ekuiti Malaysia pada minggu yang dipendekkan berikutan cuti umum pada Jumaat sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri selepas membeli bersih RM69.5 juta minggu sebelumnya.

 

MIDF Research berkata pelabur asing bertukar menjadi penjual bersih semula selepas mencatat aliran masuk tiga minggu berturut-turut.

 

Pada minggu lalu, jualan bersih pelabur asing direkodkan sebanyak RM22.82 juta pada Selasa, diikuti RM93.57 juta (Rabu) dan RM68.83 juta (Khamis).

 

Isnin merupakan satu-satunya hari dengan aliran masuk RM34.11 juta, di mana tiga saham teratas dibeli bersih adalah RHB Bank (RM12.1 juta), Pentamaster (RM8.1 juta) dan Fraser & Neave Holdings (RM7 juta).

 

“Tiga sektor teratas yang menyaksikan aliran masuk asing bersih minggu lalu adalah telekomunikasi dan media (RM44.4 juta), penjagaan kesihatan (RM18.4 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (RM9.7 juta),” katanya dalam laporan aliran dana mingguan hari ini.

 

Manakala sektor dengan aliran keluar paling banyak adalah perkhidmatan kewangan (RM139.5 juta), teknologi (RM44.8 juta) dan utiliti (RM15.7 juta).

 

Setakat ini, pelabur asing telah menjual bersih ekuiti Malaysia selama 10 daripada 16 minggu, dengan jumlah terkumpul RM1.93 bilion.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan kembali menjadi penjual bersih dengan aliran keluar RM7.3 juta selepas membeli bersih selama dua minggu.

 

“Mereka menjual bersih RM25.72 juta pada Isnin dan RM25.63 juta (Selasa) dan membeli bersih RM30.08 juta (Rabu) dan RM14.02 juta (Khamis). Setakat ini, mereka telah menjadi pembeli bersih selama 11 daripada 16 minggu dengan jumlah RM1.82 bilion,” tambahnya.

 

Sebaliknya, pelabur runcit merupakan pembeli bersih teratas minggu ini dengan jumlah RM158.3 juta, membalikkan trend jualan bersihnya selama tiga minggu berturut-turut, mencatatkan jumlah alirah masuk terbesar sejak minggu berakhir 10 Feb.

 

Firma penyelidikan itu berkata pelabur runcit telah membeli bersih selama lapan daripada 16 minggu tahun ini dengan jumlah RM108.14 juta.

 

Dari segi pergerakan pelabur, nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit meningkat 6.5%, manakala pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing menurun 4.4% dan 7.6%. -DagangNews.com