MIDF Research ‘neutral’ kepada sedikit positif terhadap cadangan Axis REIT beli aset industri bernilai RM48 juta di Sendayan Techvalley | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research ‘neutral’ kepada sedikit positif terhadap cadangan Axis REIT beli aset industri bernilai RM48 juta di Sendayan Techvalley

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 26 Okt - MIDF Research ‘neutral’ kepada sedikit positif terhadap cadangan Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) untuk membeli aset industri bernilai RM48 juta di Sendayan Techvalley kerana ia membolehkannya mengembangkan portfolio aset industri.

 

Firma penyelidikan itu berkata pemegang amanah Axis REIT telah memeterai perjanjian jual beli (SPA) berhubung cadangan pengambilalihan aset industri di Sendayan Techvalley, Seremban daripada BSS Development Sdn Bhd, Matrix IBS Sdn Bhd dan Menteri Besar Negeri Sembilan, yang dijangka selesai pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24).

 

Hartanah ini adalah kompleks perindustrian yang terdiri daripada kilang berkembar satu tingkat, pejabat berkembar satu tingkat dan pejabat berkembar dua tingkat

 

Menurut MIDF Research, bangunan perindustrian terbabit dipajak oleh sebuah syarikat antarabangsa yang mengeluarkan jentera untuk perlombongan, kuari dan pembinaan.

 

“Pajakan bangunan adalah enam tahun bermula 1 Mac 2023 dengan kadar sewa RM250,000 sebulan dan kadar sewa akan meningkat sebanyak 8% selepas tempoh tiga tahun.

 

“Pengambilalihan aset dijangka menjadi pendapatan dan hasil pertambahan dengan hasil pengambilalihan kasar sebanyak 6.3%. Sementara itu, harga belian RM48 juta adalah selaras dengan nilai pasaran hartanah tersebut,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu berkata, pengambilalihan tersebut akan dibiayai sepenuhnya oleh pinjaman bank sedia ada Axis REIT, yang memberi kesan minimum kepada penggearan (nisbah hutang kepada ekuiti) kerana penggearan REIT dijangka meningkat sedikit kepada 0.35 kali, berbanding 0.34 kali pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23).

 

Sementara itu, kesan pendapatan daripada pengambilalihan aset adalah minimum, dianggarkan kurang 1% daripada pendapatan.

 

“Oleh itu, kami menyemak unjuran pendapatan FY24 dan FY25 kami sebanyak 0.3% selepas mengambil kira sumbangan pendapatan daripada pengambilalihan aset,” katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM2.07 sesaham selepas menaikkan unjuran pendapatan dan pengagihan seunit (DPU).

 

“Kami tetap yakin dengan prospek jangka panjang untuk Axis REIT yang akan disokong oleh permintaan yang sihat untuk ruang industri. Sementara itu, hasil pengagihan dianggarkan sebanyak 4.4%,” tambahnya.

 

Setakat pukul 9:33 pagi ini, saham Axis REIT tidak berubah pada RM1.80 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM3.1 bilion.  - DagangNews.com