MIDF Research kekalkan saranan 'Beli' Gas Malaysia pada TP RM3.96, bergantung turun naik harga minyak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MIDF Research kekalkan saranan 'Beli' Gas Malaysia pada TP RM3.96, bergantung turun naik harga minyak

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Julai - MIDF Research mengekalkan saranan 'Beli' bagi Gas Malaysia Bhd dengan harga sasaran (TP) RM3.96 sesaham.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun mengingatkan turun naik harga minyak mentah Brent dalam jangka pendek boleh mempengaruhi penggunaan gas.

 

Selepas melawat Gas Malaysia baru-baru ini, MIDF Research mengetengahkan komitmen kumpulan itu dalam menyediakan penyelesaian tenaga melalui teknologi CHP iaitu gabungan haba dan kuasa.

 

CHP telah digunakan oleh Gas Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif penyelesaian tenaganya.

 

"Ini tidak hanya akan menyumbang kepada skor ESG (alam sekitar, sosial, dan tadbir urus) Gas Malaysia, tetapi juga memastikan bahawa peralihan kepada pengeluaran tenaga yang lebih bersih dan cekap berjalan lancar, seperti yang digalakkan dalam Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang merangkumi pemacu kecekapan tenaga," kata MIDF dalam nota penyelidikan hari ni.

 

Gas Malaysia Energy Advance Sdn Bhd (GMEA), sebuah usaha sama antara Gas Malaysia dan Tokyo Gas Engineering Solutions Corp, kini mengendalikan tiga loji dengan potensi mengurangkan kira-kira 72.2kT CO2 setiap tahun (dengan kapasiti gabungan untuk menghasilkan 41.7MW elektrik, 165tph stim, dan 1,684kW air panas).

 

Sistem kumpulan ini dilaporkan selaras dengan strategi perniagaan sepuluh tahunnya, menyumbang kepada pertumbuhan mampan jangka panjang, evolusi positif perniagaan dan operasinya, serta peningkatan tanggungjawab alam sekitar dan kebolehgunaan ekonomi.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu menegaskan pandangan positifnya terhadap projek CHP Gas Malaysia, melihat sistem teknologi ini sebagai peningkatan kepada operasi kumpulan tersebut.

 

Saham Gas Malaysia dibuka hari ini pada RM3.64 setiap satu, menilai syarikat ini pada RM4.67 bilion. - DagangNews.com