KUALA LUMPUR 10 Feb - Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd. (MHB) kembali mencatat untung pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 sebanyak RM27.14 juta berbanding kerugian bersih, RM107.79 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, pendapatan bagi tempoh itu menyusut kepada RM424 juta daripada RM432.01 juta disebabkan hasil yang lebih rendah daripada segmen kejuruteraan berat, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Bagi tempoh itu kumpulan merekodkan keuntungan operasi sebanyak RM9.8 juta berbanding kerugian operasi sebanyak RM103.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Segmen kejuruteraan berat merekodkan pendapatan sebanyak RM326.4 juta pada suku berkenaan berbanding RM354.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan hasil yang lebih rendah daripada projek yang sedang berjalan.
Sementara itu, segmen marin mencatat hasil lebih tinggi sebanyak RM97.6 juta daripada RM77.6 juta berikutan aktiviti 'dry-docking' yang lebih tinggi.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kumpulan kembali mencatat keuntungan bersih sebanyak RM67.77 juta berbanding kerugian bersih RM270.41 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Pendapatan bagi tempoh itu, meningkat kepada RM1.65 bilion daripada RM1.47 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya disumbang terutamanya menerusi hasil kedua-dua segmen yang lebih tinggi.
Mengenai prospek kumpulan, MHB berkata, pembukaan semula ekonomi China melalui penarikan dasar sifar COVID-19 dijangka meningkatkan permintaan minyak, gas dan tenaga dengan ketara yang akan menyokong harga minyak dan gas untuk kekal kukuh.
Menurutnya, pertumbuhan pesat tenaga boleh diperbaharui di samping usaha penyahkarbonan yang semakin meningkat di peringkat global boleh memberi pelbagai peluang perniagaan kepada kumpulan.
Bagaimanapun, katanya, ancaman kemelesetan ekonomi global yang semakin meningkat mungkin menimbulkan beberapa risiko penurunan kepada permintaan dan harga.
"Di samping itu, faktor seperti gangguan rantaian bekalan disebabkan ketegangan geopolitik yang berterusan dan tekanan inflasi tinggi boleh memberi cabaran kepada prospek perniagaan dalam segmen kejuruteraan berat.
"Oleh itu, kumpulan kekal optimis tetapi berhati-hati terhadap prospek segmen ini. Kumpulan juga mendapat manfaat daripada operasi perniagaan marin melalui aktiviti 'dry-docking' yang lebih tinggi direkodkan pada 2022," katanya. - DagangNews.com








