MGA mahu kerajaan kekalkan dasar tenaga dan iklim dalam Bajet 2023 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MGA mahu kerajaan kekalkan dasar tenaga dan iklim dalam Bajet 2023

KUALA LUMPUR 15 Feb - Kerajaan perlu mengekalkan dasar tenaga dan iklim dalam Bajet 2023, yang akan dibentangkan 24 Februari ini, demikian menurut Persatuan Gas Malaysia (MGA).

 

Aspirasi Negara Rendah Karbon 2040 yang terkandung dalam Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022 hingga 2040 yang dilancarkan pada September 2022 menunjukkan Malaysia berada di landasan dengan dasar pragmatik dilaksanakan untuk sebahagiannya melengkapkan agenda perubahan iklim di peringkat nasional

 

Oleh itu, pihaknya memuji inisiatif Kementerian Kewangan yang memberi peluang kepada peserta industri untuk berkongsi pandangan mengenai Bajet 2023 semasa sesi dialog yang diadakan di Putrajaya.

 

"Dalam hal ini, MGA, sebagai mewakili peserta industri di seluruh rantaian nilai industri gas Malaysia, menggesa kerajaan untuk mengekalkan komitmen iklim negara terutama aspirasi untuk mencapai Pelepasan Sifar Bersih seawal 2050.

 

"Ini kerana gas asli, sebagai bahan api fosil paling bersih, berperanan penting dalam mengimbangi dilema tenaga, menyediakan tenaga yang bersih, terjamin, boleh dipercayai dan fleksibel.

 

"Ia menjadi bahan api penting dalam memastikan negara memenuhi sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang lebih baik iaitu 45% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030 tanpa menjejaskan jaminan tenaga," katanya dalam kenyataan hari ini seperti dilapor Bernama.

 

Persatuan itu berkata, menerusi pelbagai sumber dan rangkaian infrastruktur penghantaran gas yang luas dengan kebolehpercayaan melebihi 99%, gas asli berperanan penting dalam memacu ekonomi dengan menyediakan bekalan tenaga yang tidak terganggu, terutama dalam sektor penjanaan kuasa, sekali gus memastikan jaminan tenaga dan akses tenaga yang luas untuk negara.

 

MGA menekankan bahawa gas asli digabungkan dengan gas rendah karbon dan boleh diperbaharui lain akan mempunyai peranan penting dalam merealisasikan aspirasi mengikut NEP 2022-2040 dan hala tuju Malaysia untuk mencapai keneutralan karbon.

 

Sehubungan itu, ia menggesa kerajaan supaya mengekalkan dasar semasa dan pelan hala tuju berkaitan tenaga termasuk DTN 2022-2040, Pelan Induk Gas Sabah dan Sarawak, liberalisasi pasaran gas sepenuhnya serta pelan hala tuju akan datang seperti Pelan Hala Tuju Gas Asli dan hab Pasaran Gas Serantau.

 

Menurutnya, usaha kerajaan untuk merangkumkan MGA dalam usaha merangka dasar dan pelan hala tuju yang penting dalam kemajuan industri gas Malaysia adalah amat dihargai.

 

“Pada masa kini, gas asli kekal sebagai sumber tenaga tunggal terbesar di Malaysia, membekalkan kira-kira 42 peratus daripada jumlah bekalan tenaga utamanya pada 2019. Lebih penting lagi, industri gas Malaysia menyumbang lebih RM135 bilion setahun dari segi pertumbuhan sosio-ekonomi Malaysia dan mewujudkan lebih 80,000 pekerjaan untuk keseluruhan ekonomi.

 

MGA menambah usaha menggalakkan pembangunan dan pengembangan keupayaan dan kapasiti industri adalah penting dalam perancangan dasar dan inisiatif. - DagangNews.com