Meta Malaysia umum inisiatif baharu #TakNakScam bersama pihak berkuasa, agensi kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meta Malaysia umum inisiatif baharu #TakNakScam bersama pihak berkuasa, agensi kerajaan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Meta Malaysia hari ini mengumumkan inisiatif baharu di bawah kempen kesedaran #TakNakScam ke seluruh negara bersama kehadiran beberapa rakan kongsi utama kempen.

 

Rakan kongsi kempen, termasuk Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM),Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), CyberSecurity Malaysia (CSM), Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA).

 

Kempen #TakNakScam Meta dilancarkan buat julung kalinya pada bulan Julai tahun lepas dengan tujuan untuk mempertingkatkan kesedaran dan mendidik masyarakat tentang cara mengenal pasti, menyemak dan melaporkan taktik pemerdayaan yang digunakan oleh penipu. 

 

Kempen yang berlangsung selama lima bulan tersebut mendapat sambutan yang baik daripada orang awam dan meraih 2.3 juta capaian dan 105,000 klik pada pautan menerusi pelbagai saluran media sosial.

 

Sementara itu, kempen influencer melalui Rakan Kongsi Pemasaran Meta mempunyai jumlah capaian sebanyak 4.8 juta dan jumlah penglibatan sebanyak 23,007. Kempen itu turut mendapat sokongan daripada selebriti tempatan Chef Wan, yang berkongsi pelbagai kandungan sosial berkaitan dengan kempen ini yang mendapat jumlah capaian yang mencecah lebih 1.38 juta dan 137,000 jumlah penglibatan.

 

Pengarah Negara Meta di Malaysia, Nicole Tan berkata, tingkah-laku baharu pengguna berkenaan pelayaran dan pembelian dalam talian yang muncul ketika pandemik akan terus menjadi resam bagi rakyat Malaysia. 

 

"Kami mengetahui bahawa pengguna terus berada di dalam talian untuk mewujudkan hubungan yang bermakna dengan orang lain, komuniti dan perniagaan yang mereka sukai. Bersama rakan kongsi kempen, Meta komited untuk menyediakan peralatan dan sumber keselamatan supaya rakyat Malaysia kekal selamat ketika berada di atas platform kami. 

 

 

meta

 

 

"Kami akan terus mencari kaedah baharu untuk menjangkau rakyat Malaysia, mempertingkatkan kesedaran, menggalakkan pemikiran kritis supaya pengguna sentiasa berwaspada dan memperkasakan mereka untuk bertindak melindungi diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tahun ini, kempen #TakNakScam akan memfokus kepada 5 jenis penipuan dalam talian yang paling berleluasa iaitu penipuan e-dagang, pinjaman wang haram, penipuan pekerjaan, penipuan pelaburan dan keldai wang. 

 

Kempen ini akan terus menggesa orang awam supaya berwaspada menerusi tiga langkah mudah: “Kenal Pasti, Semak, Lapor” iaitu mengenalpasti, mengesahkan dan melaporkan penipu-penipu.

 

 

meta

 

 

Semasa kempen berlangsung, pelbagai bahan pendidikan serta petua dan kaedah untuk mengenal pasti, menangani dan melaporkan aktiviti peipuan akan dikongsikan secara komprehensif di saluran dalam dan luar talian kesemua rakan kongsi kempen.

 

Untuk maklumat lanjut dan petua tentang cara memerangi penipuan, orang awam digalakkan mengunjungi hab sumber sehenti #TakNakScam atau ikuti Halaman Facebook Meta Malaysia. - DagangNews.com