Perbalahan antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) selama ini dimaklumkan secara di belakang tabir, memetik sumber-sumber dengan alasan tidak mahu jadi isu nasional.
Tetapi krisis itu kini tidak boleh disorok lagi malah berdasarkan apa yang berlaku pada Selasa di mana DNB dan TM berbalas-balas kenyataan umum, ia jelas menunjukkan retak tidak lagi sekadar menunggu belah, tetapi kian meruncing, dengan prospek pertikaian berakhir di mahkamah semakin nyata.
DNB, yang ditubuhkan pada 2021 sebagai penyedia infrastruktur 5G tunggal milik kerajaan, menegaskan bahawa perjanjian aksesnya dengan TM masih sah walaupun TM mengumumkan hasrat untuk keluar awal daripada perjanjian tersebut pada minggu lalu.
Dalam reaksi segera, TM menafikan kenyataan DNB dan menegaskan bahawa langkah syarikat itu menamatkan perjanjian 5G itu adalah sah. Kedua-dua pihak berkata mereka akan melalui proses yang ditetapkan di bawah peruntukan akses DNB, sambil mengekalkan hak mereka di sisi undang-undang.
Perbalahan ini menambah lagi cabaran dalam pelaksanaan rangkaian 5G di Malaysia di bawah kerangka jaringan tunggal 2021, yang mewujudkan DNB sebagai entiti milik penuh Menteri Kewangan (MoF) Inc.
Keputusan 2024 jadi detik awal telco retak
Kerajaan pada 2024, memutuskan untuk membenarkan rangkaian 5G berganda, keputusan yang ditentang hebat oleh semua syarikat telekom termasuk Maxis Bhd dan CelcomDigi Bhd. Namun, lesen infrastruktur 5G kedua akhirnya dianugerahkan kepada U Mobile Sdn Bhd.
U Mobile kini turut terlibat dalam pertikaian ini, apabila TM cuba keluar daripada DNB, sebaliknya menandatangani kontrak dengan U Mobile minggu lalu.
Jika TM tidak dibenarkan meninggalkan DNB, ia mungkin menghadapi kesukaran menunaikan kontraknya dengan U Mobile, sekaligus menjejaskan kebolehlangsungan penyedia rangkaian kedua itu.

Neoh Jia Man, pengurus dana Tradeview Capital berkata langkah DNB tidak mengejutkan kerana “tiada siapa yang menjangkakan U Mobile mampu mendapat pelanggan seperti TM.”
Beliau menambah, memandangkan kerajaan masih memegang “golden share” dalam DNB, “kemungkinan besar rancangan TM untuk keluar tidak akan berhasil.”
“Selain itu, langkah TM untuk meninggalkan DNB dan menyertai U Mobile juga tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Pengawal selia boleh menolak sebelum isu ini sampai ke mahkamah,” katanya kepada StarBiz.
Neoh turut memberi amaran bahawa pertikaian ini boleh berlarutan bergantung kepada terma dan tafsiran perjanjian akses borong antara TM dan DNB.
Golden Share
Pada Disember 2025, MoF melaksanakan opsyen put, memerlukan pemegang saham lain iaitu CelcomDigi, Maxis dan YTL Power International Bhd mengambil alih saham dan pinjaman pemegang saham sedia ada bernilai RM327.87 juta. Putrajaya kini mengekalkan 30% saham dalam DNB bersama “golden share”. Kerajaan juga memiliki “golden share” dalam TM.
Sebuah “golden share” memberikan kuasa kawalan tambahan seperti hak veto terhadap keputusan besar, walaupun pegangan ekonomi kecil.
DNB mencatatkan kerugian bersih RM1.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir Disember 2024 (FY24), dengan liabiliti kira-kira RM4.9 bilion, kerana syarikat telekom hanya membayar yuran akses nominal. DNB dijangka terus mengalami kerugian pada FY25 dan FY26 kerana ketidaktentuan pertumbuhan hasil dan kawalan kos.
Neoh menganggarkan TM menyumbang kira-kira RM35 juta setahun dalam yuran akses kepada DNB. Dengan pendapatan DNB sekitar RM340 juta pada 2024, TM menyumbang lebih 10% daripada jumlah. Walaupun kelihatan kecil, dengan kerugian RM1.2 bilion DNB, sebarang pengurangan hasil borong memberi impak besar kepada kedudukan kewangan.
Di bawah struktur pemilikan semasa, sebarang kerugian lanjut perlu ditanggung sama rata oleh pemegang saham lain selepas sebahagian pegangan kerajaan dijual. Ini menjadikan DNB beralasan untuk mengekalkan TM bagi menstabilkan asas pendapatannya.

Perkembangan ini juga berlaku di tengah spekulasi pasaran bahawa Maxis mungkin membeli U Mobile, walaupun laporan terkini menunjukkan rundingan terdahulu tergendala kerana isu penilaian.
Minggu lalu, dua pemegang saham utama U Mobile — Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun dan Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim — memperoleh pembiayaan RM3.8 bilion dari bank tempatan untuk menguasai syarikat daripada Straits Mobile Investments Pte Ltd, milik Temasek Holdings.
Beberapa pemerhati industri melihat langkah ini sebagai tanda pemegang saham tempatan ingin mengembangkan U Mobile secara bebas, namun kemungkinan penjualan kepada Maxis tidak boleh diketepikan sepenuhnya.
Maxis pun boleh keluar daripada DNB
Menurut seorang penganalisis, jika Maxis berjaya memperoleh U Mobile, kemungkinan Maxis juga boleh keluar daripada DNB. Ini memberi DNB alasan lebih kukuh untuk mengekalkan TM, kerana mengekalkan pelanggan borong besar membantu menyeimbangkan kos rangkaian dan meningkatkan ekonomi keseluruhan.
Sementara itu, penganalisis BIMB Securities Azim Faris Ab Rahim berpendapat TM akhirnya akan beralih kepada U Mobile, kerana syarikat sudah bersedia melepaskan RM127.3 juta sebagai bayaran pendahuluan kepada DNB.
TM berhujah, perjanjian akses 5G bertarikh 30 Oktober 2022 membenarkan mereka menamatkan kontrak dalam tempoh 30 hari setelah 5G tersedia secara komersial dari operator lain.
TM mendakwa syarat ini dipenuhi pada 26 Januari 2026, apabila U Mobile melancarkan perkhidmatan 5G dan mengeluarkan reference access offer (RAO) — rangka kerja harga dan akses borong rasmi yang menandakan kesiapsiagaan komersial.
Langkah keluar daripada DNB mempunyai implikasi kewangan, tetapi TM berkata ia mampu menanganinya. Setakat 31 Disember 2025, TM mempunyai RM127.3 juta kapasiti prabayar tidak digunakan di bawah perjanjian DNB.
TM telah mengeluarkan surat pengiktirafan kepada U Mobile untuk kontrak tiga tahun berdasarkan penggunaan 5G, yang diterima U Mobile minggu lalu. - DagangNews.com








