KUALA LUMPUR 15 Feb - Berikutan kejayaan pelancaran EQS pertengahan tahun lepas, Mercedes-Benz Malaysia hari ini melancarkan model utama kenderaan elektrik (EV) EQS 500 4MATIC, yang dipasang secara tempatan (CKD) di kilang pengeluarannya di Pekan, Pahang.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sagree Sardien berkata, pihaknya telah mencapai kejayaan baharu dengan pelancaran pemasangan tempatan pertama EV EQS 500 4MATIC.
Katanya, ini menyokong strategi perniagaan global pihaknya untuk menawarkan pelanggan rangkaian EQ yang komprehensif dan menyumbang kepada penggunaan EV yang lebih tinggi di Malaysia.
"Sebagai sebuah syarikat, kami komited terhadap visi kemampanan kami dan 'Lead in Electric' dengan mengembangkan kumpulan kereta penumpang baharu kami untuk menjadi CO₂-neutral sepanjang kitaran hayat menjelang 2039.
"Di premis itu, kami terus mencipta ekosistem mobiliti elektrik yang holistik, bukan sahaja melalui produk kami, tetapi di samping perkhidmatan, teknologi dan inovasi," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merasmikan pelancaran kereta tersebut.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia, sebagai salah satu hab pembuatan E&E yang terkemuka dan lebih matang di ASEAN, sudahpun mengambil langkah untuk mengukuhkan kedudukannya melalui langkah-langkah dasar, serta memanfaatkan ekosistem EV sedia ada.


Katanya, semua ini memberi petanda baik bagi pelabur yang ingin membantu membangunkan industri EV yang berdaya maju di Malaysia, yang akan menyokong sasaran pelepasan sifar GHG bersih Malaysia menjelang 2050.
"Untuk tujuan ini, pelancaran Mercedes-Benz bagi kereta elektrik bateri penuh pemasangan tempatan pertamanya baik untuk Malaysia.

"Ia meningkatkan keupayaan industri domestik dan mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pelaburan, yang akan meningkatkan kadar penggunaan tempatan untuk EV.
Di samping itu katanya, ini seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan menggalakkan kecemerlangan dalam industri EV Malaysia.

Mercedes EQS 500 4MATIC yang berharga RM648,888 (tidak termasuk insurans) akan tersedia untuk pasaran mulai pertengahan Mac 2023. - DagangNews.com








