Meraque lancar Dron EduKit, dron pendidikan mesra bilik darjah untuk pelajar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Meraque lancar Dron EduKit, dron pendidikan mesra bilik darjah untuk pelajar

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Melihat minat yang semakin berkembang dalam arena ini, Meraque, yang tersenarai sebagai salah satu daripada 20 syarikat dron terbaik dunia, telah melancarkan Dron EduKit Meraque untuk kanak-kanak dan pelajar.

 

Dron serba unik itu akan memberi inspirasi kepada kanak-kanak di Malaysia untuk memasang dan menerbangkan dron mereka, semuanya dalam masa 15 minit sahaja.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Meraque, Md Razalee Ismail berkata, dron EduKit Meraque direka oleh bekas pendidik dengan kerjasama pakar pembangunan kanak-kanak. 

 

"Malah ia turut diuji oleh golongan kanak-kanak. Ia memberi peluang untuk kanak-kanak agar dapat belajar lebih lanjut tentang litar ringkas dan kompleks, pengekodan dan pemprograman dalam persekitaran yang selamat. 

 

"Amat mengujakan setiap kali melihat dron mereka terbang dan ‘beraksi’ apabila diterbalikkan 360 darjah," katanya dalam satu kenyataan sambil menjelaskan tentang sesi ini yang direka dan disesuaikan untuk menarik minat kanak-kanak dari pelbagai peringkat umur.

 

Md Razalee berkata, Dron EduKit Meraque kini merangkumi sesi 3 jam percuma dan aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan untuk menawarkan sedikit cabaran. 

 

Modul pembelajaran turut meliputi peraturan, keselamatan, komponen dan kawalan, teknologi dalam pelbagai dron, dan aplikasi dalam industri dron, katanya.

 

 

meraque

 

 

“Kami komited untuk mencetuskan rasa ingin tahu kepada bakal jurutera dan pencipta masa hadapan kita, memberi si cilik bahan binaan asas untuk memasang dan menyesuaikan dron mereka, sambil mereka mempelajari konsep Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) seperti aerodinamik, pengagihan berat, toleransi kenaikan dan banyak lagi," katanya.

 

Membentuk sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Meraque juga melancarkan Program Pembangunan Kerjaya Teknologi Dron Generasi Muda Malaysia pada Februari tahun ini untuk melatih 500 belia dengan set kemahiran yang diperlukan dalam teknologi dan perkhidmatan dron menjelang 2023. 

 

Selain itu, Meraque juga bekerjasama dengan Kelab Rakan Udara Malaysia (KRUM) bersama sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), serta Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) untuk merealisasikan program ini.

 

Kini, sesi pembelajaran akan diperluaskan ke Selangor mulai November, menggabungkan amalan terbaik daripada sesi rintis yang telah diadakan di tiga sekolah di Johor pada bulan April baru-baru ini. Di samping itu, Kelab Udara Malaysia akan menggunakan Dron EduKit Meraque di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara. 

 

“Kami ingin meneroka dan membentuk bakat muda dalam bidang teknologi di seluruh negara memandangkan potensi pasaran global untuk dron adalah amat besar, yang mana Malaysia mampu bersaing. Berjinak-jinak dengan dron adalah cara terbaik untuk mencetuskan minat dan keyakinan mereka sambil mereka ‘belajar dengan melakukan'," kata Razalee. - DagangNews.com