KUALA LUMPUR 26 April - Meditech Gloves Sdn Bhd telah menetapkan sasaran jualan awal untuk sarung tangan terbaharunya yang dirumus menggunakan graphene pada RM88.62 juta tahun ini dan unjuran pertumbuhan permintaan tahunan sebanyak 50%.
Pengarah Urusannya, Dr Effendi Tenang berkata, syarikat itu merancang untuk melancarkan sarung tangan pembedahan graphene dan sarung tangan pemeriksaan graphene tahun ini kerana terdapat permintaan kukuh terhadap kedua-dua produk itu dari United Kingdom (UK) dan Eropah.
"Malah ia adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk menggabungkan graphene dengan lateks.
"Grafene ialah bahan nano karbon dan lateks medium asas polimer. Ia seperti cuba mengadun minyak dengan air tetapi kami telah berjaya menghasilkan sarung tangan campuran graphene sepenuhnya yang pertama di kilang Meditech Gloves di Nilai, Negeri Sembilan awal tahun ini,” katanya.
Effendi berkata, penghasilan terbaharu itu dibuat baru-baru ini melalui penyelidikan bersama dengan Universiti Cranfield di UK serta sokongan daripada Lembaga Getah Malaysia.
Beliau berkata dengan graphene, sarung tangan lebih nipis dan tempoh biodegradasi dikurangkan dengan ketara, menjadikannya lebih mampan untuk alam sekitar.
"Tidak seperti kebanyakan sarung tangan nitril atau sintetik yang mungkin mengambil masa sehingga seratus tahun untuk digubah.

"Kami berbangga untuk mengisytiharkan bahawa sarung tangan perubatan graphene keluaran Meditech Gloves adalah yang pertama seumpamanya di dunia dan sedang dalam proses dipatenkan," katanya.
Beliau berkata, apabila graphene berjaya direka bentuk dengan getah, sifat getah bertambah baik dengan ketara dan ia berkemungkinan sesuatu yang baharu untuk industri getah.
"Walaupun syarikat ini kukuh dengan sarung tangan gred perubatan dan menjadi pengeluar selama 19 tahun sekarang, menerusi graphene ini, kami bercadang mempelbagaikan pengeluaran sarung tangan gred industri," katanya.
Effendi berkata, berbilion keping sarung tangan digunakan dan dibuang secara global setiap tahun dan kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan sampah, dibakar atau dibuang secara terbuka tanpa menghiraukan alam sekitar.
"Sepanjang tempoh pandemik COVID-19, sarung tangan khususnya sarung tangan nitril terpakai didapati dibuang ditempat yang tidak sesuai termasuk di laut yang akhirnya akan terurai kepada mikroplastik dan berakhir dalam kitaran makanan semula jadi," katanya.
Beliau berkata, Meditech Gloves juga telah membekalkan sarung tangan gred perubatan di peringkat antarabangsa dan domestik dan menyumbangkan bekas sarung tangan perubatan kepada rakyat Turkiye dan Syria semasa gempa bumi berlaku di sana baru-baru ini, lapor Bernama.
Meditech Gloves adalah syarikat milik penuh Bumiputera dan pengeluar sarung tangan pemeriksaan perubatan getah asli berkualiti tinggi dan sarung tangan pembedahan getah asli. - DagangNews.com








