KUALA LUMPUR 6 April - Malaysia Building Society Bhd. (MBSB) memperoleh kebenaran daripada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memulakan rundingan dengan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) bagi cadangan pengambilalihan 100% kepentingan dalam Malaysian Industrial Development Finance Bhd. (MIDF).
Kelulusan yang diberikan BNM adalah sah bagi tempoh selama 6 bulan daripada tarikh surat itu dikeluarkan (6 April 2022).
"Bagi pihak lembaga pengarah, kami ingin memaklumkan bahawa BNM menerusi suratnya bertarikh 6 April 2022, menyatakan tiada bantahan kepada MBSB untuk memulakan rundingan dengan PNB untuk kemungkinan mengambil alih 100% pegangan dalam MIDF yang dimiliki PNB.
"Butiran lanjut mengenai cadangan pengambilalihan ini akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Pada Februari 2018, MBSB menyelesaikan pengambilalihan Asian Finance Bank (AFB) untuk menjadi anak syarikat pada harga RM644.95 juta.
Pengambilalihan itu menyaksikan MBSB kini memegang 100% kepentingan di dalam AFB yang kemudiannya dikenali sebagai MBSB Bank.
Bagi tempoh 9 bulan tahun kewangan 2021, jumlah aset MBSB Bank berjumlah RM49.3 bilion, dengan pembiayaan berjumlah kira-kira RM35.1 bilion dan instrumen kewangan kira-kira RM12 bilion.
MIDF pula pada 2020, gagal dalam rundingannya untuk bergabung dengan Al Rajhi Banking and Investment Corp. (M) Bhd. susulan wujudnya perselisihan mengenai pelaksanaan undang-undang syariah yang diutamakan.
Susulan pengumuman MBSB itu, harga sahamnya setakat 2.23 petang ini menokok 1 sen atau 1.67% kepada 61 sen dengan 3.88 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








