KUALA LUMPUR 20 April - Institusi perbankan patuh syariah, MBSB Bank Berhad menyumbang sebanyak RM420,000 kepada 14 rumah kebajikan di 7 buah negeri melalui penganjuran Program Ramadan 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, ia melibatkan rumah kebajikan di Selangor, Johor, Kelantan, Terengganu, Perlis, Sabah dan Sarawak.
Katanya, sumbangan kepada penghuni dan pengusaha rumah-rumah kebajikan meliputi sumbangan makanan, peralatan rumah dan barangan elektrik.
"Program Ramadan ini selari dengan peranan mereka sebagai institusi perbankan Islam yang mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan pada masa sama memiliki elemen nilai teras bank iaitu rendah diri serta beretika.
Terdahulu, MBSB Bank meraikan seramai 100 anak-anak yatim asnaf dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim dan Asnaf Teratak Ummi di Gombak and Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al-Barakah di Keramat.
Selain menerima duit raya, kanak-kanak berkenaan turut dibawa membeli pakaian Hari Raya bersama-sama warga kerja MBSB Bank yang hadir sebagai sukarelawan.
Tambah Nor Azam, Program Ramadan pada tahun ini memberi tumpuan kepada golongan asnaf yang merangkumi anak-anak yatim, penghuni rumah-rumah kebajikan dan juga ibu tunggal.

“Setiap kali Ramadan menjelang, kami akan menganjurkan sesuatu yang menarik untuk anak anak yatim.
"Contohnya, pada tahun-tahun sebelumnya, kami menganjurkan majlis berbuka puasa. Tetapi untuk kelainan, tahun ini kami membawa anak-anak membeli-belah, kerana kami tahu aktiviti ini amat dinanti-nantikan oleh mereka," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Baiturrahmah di Kuching, Sarawak, Norazmah Bakar menzahirkan perasaan syukur apabila menerima bantuan tersebut.
"Pihak kami amat berbesar hati dan sangat bergembira atas sumbangan tersebut dan berdoa agar MBSB Bank serta seluruh kakitangan mendapat barakah dan kejayaan dunia serta akhirat," katanya.

Pada masa sama, program pengagihan pek makanan serta keperluan asas MBSB Bank, yang dikenali sebagai MBSB Bank ‘Box of Care’ juga bergerak aktif sepanjang bulan Ramadan.
Antara penerima ‘Box of Care’ di Kuala Lumpur, termasuk 100 ibu tunggal di Taman Rasmi Jaya, Ampang dan juga 750 penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, PPR Pantai Ria, dan PPR Kerinchi.
Salah seorang penduduk PPR Kerinchi yang telah menerima ‘Box of Care’, Azura Ibrahim, berkongsi pengalamannya menerima bantuan daripada MBSB Bank.
"PPR ini mempunyai enam blok dan kesemua penduduk telah menerima bantuan dari MBSB Bank sempena Ramadan dan Hari Raya. Saya sebagai wakil penduduk mengucapkan jutaan terima kasih kepada MBSB Bank," katanya.
Pemberian ‘Box of Care’ juga disalurkan kepada 35 pelajar-pelajar asnaf di beberapa sekolah di Kuching. - DagangNews.com








