MBSB Bank, PREC bekerjasama perkasa PKS menerusi perniagaan tanpa tunai | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Bank, PREC bekerjasama perkasa PKS menerusi perniagaan tanpa tunai

Datuk Nor Azam M Taib (kiri) dan Fakru Radzi Ab Ghani ketika memeterai MoU antara MBSB Bank dan PREC di SACC Mall, Shah Alam, Selangor pada 3 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac - MBSB Bank Berhad dan PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam memacu perniagaan tanpa tunai dan memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Kerjasama strategik itu akan memberi peluang kepada peniaga-peniaga yang beroperasi di bangunan milik PREC seperti SACC Mall, Kompleks PKNS Shah Alam dan Kompleks PKNS Bangi mempergiatkan lagi perniagaan mereka menerusi platform real-time retail payment platform (RPP) seperti aplikasi DuitNowQR yang boleh digunakan melalui aplikasi perbankan mudah alih dan e-dompet.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib berkata, kerjasama strategik MBSB Bank dengan PREC akan memberikan manfaat dan kemudahan kepada peniaga-peniaga di premis-premis yang dikawalselia oleh PREC menerusi penggunaan produk-produk digital MBSB Bank melalui platform RPP yang diuruskan oleh Payment Network Malaysia (PayNet). 

 

Beliau berkata, transaksi tanpa tunai yang ditawarkan menerusi RPP dapat menjimatkan kos operasi masa dan membantu mempertingkatkan proses pengurusan kewangan yang lebih cekap, selain sedia digunakan sepanjang masa kerana beroperasi 24 jam sehari.

 

"Dalam pada itu, dengan pendigitalan premis-premis PREC, ia dapat menarik lebih ramai pelanggan kerana pembayaran secara digital adalah lebih mudah, selamat dan menjadi pilihan pengguna masa kini. 

 

"Premis-premis PREC juga menjadi fokus MBSB Bank untuk kami adakan kempen-kempen promosi produk kerana lokasinya yang strategik. 

 

"Tumpuan juga akan diberikan kepada pengukuhan PKS melalui pembiayaan kewangan mikro jangka pendek dan sederhana berdasarkan keperluan perniagaan mereka. Ia juga akan melalui proses penilaian yang lebih ringkas tetapi teliti berdasarkan data-data transaksi perniagaan mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

mbsb

 

 

Terdahulu, MoU tersebut ditandatangani oleh Nor Azam dan Ketua Pegawai Eskekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani di SACC Mall, Shah Alam. 

 

Sementara itu, Fakru Razi berkata, pihaknya berbesar hati dengan kerjasama itu yang bertujuan membantu memudahkan urusan para peniaga dan pembeli di premis-premis bangunan milik PREC dengan membuat transaksi secara digital seperti e-dompet dan aplikasi DuitNow yang disediakan MBSB Bank.

 

Katanya, kerjasama tersebut dijadualkan berlangsung pada Festival Ramadan Selangor 2023 atau lebih dikenali sebagai FESTIRA’23 bermula pada 5 Mac 2023 (Pra Ramadan) selama 48 hari sehingga 21 April 2023. 

 

"Sebagai permulaan, sasaran utama kerjasama ini adalah kepada para peniaga yang terlibat dengan FESTIRA’23 yang mana para peniaga akan membuka akaun MBSB Bank dan menggunakan perkhidmatan perbankan secara digital dalam proses jual beli," katanya.

 

Tahun 2023 merupakan tahun ke-10 penganjuran FESTIRA di pusat beli-belah milik PREC iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, SACC Mall dan Kompleks PKNS Bangi. - DagangNews.com