MBSB Bank, Perlis Digital jalin kerjasama strategik perkasa pendigitalan PMKS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBSB Bank, Perlis Digital jalin kerjasama strategik perkasa pendigitalan PMKS

Mohd Shukri Ramli (tengah) bersama Datuk Nor Azam M Taib (tiga, kanan) dan Norsiake Kassim (dua, kanan) ketika majlis menandatangani MoU antara MBSB Bank dan Perlis Digital di Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 8 Nov - MBSB Bank Berhad menjadi institusi kewangan pertama menjalin kerjasama strategik dengan Perlis Digital Sdn Bhd, sebuah badan berkanun yang ditubuhkan untuk menyokong Pelan Strategik Pembangunan Negeri Perlis.

 

Perlis Digital, yang dibantu oleh Perbadanan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dan Infinity Wave Sdn Bhd, dijangka meningkatkan pendapatan per kapita rakyat Perlis dengan memanfaatkan teknologi digital baharu untuk mengubah operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

 

Perlis Digital yang dilancarkan oleh Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, akan memberi tumpuan kepada tujuh kluster utama iaitu Kerajaan, Keselamatan Digital, Infrastruktur, Komuniti, Ekonomi, Pelancongan dan Pertanian yang sejajar dengan Pelan Digital Perlis 2021-2025.

 

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara ketiga-tiga pihak yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib; Pengurus Besar PKENPs, Norsiake Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Infinity Wave, Zul Azhan Abu Bakar.

 

Majlis yang berlangsung di Kangar, Perlis, baru-baru ini turut dihadiri wakil negeri Perlis, Payment Networks Malaysia Sdn Bhd (PayNet), serta Maxis Communications Berhad, yang merupakan rakan kongsi telekomunikasi Perlis Digital.

 

Menurut Norsiake, penglibatan pihak berkenaan termasuk MBSB Bank akan memberi impak positif kepada pembangunan Perlis. 

 

 

mbsb

 

 

"Ia menandakan dedikasi kami untuk membina asas masyarakat yang diperkasakan teknologi, yang mana manfaat ekonomi digital adalah tidak terhad kepada beberapa kumpulan masyarakat, tetapi boleh diakses semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau lokasi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Sementara itu, Nor Azam berkata, kerjasama strategik itu akan memberi peluang kepada PMKS di Perlis untuk mempergiatkan perniagaan mereka melalui platform digital seperti pembayaran runcit masa nyata atau RPP yang boleh didapati melalui permohonan perbankan yang disediakan MBSB Bank. - DagangNews.com