PETALING JAYA 27 Sept - MBSB Bank Berhad (MBSB Bank) menjangkakan mampu mencapai pertumbuhan baik dalam tempoh masa terdekat, sekurang-kurangnya sehingga separuh pertama tahun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Nor Azam M Taib berkata, prestasi MBSB Bank pada suku tahun ketiga 2022 dilihat jauh lebih baik berbanding suku tahun pertama dan kedua.
“Kami menjangkakan prestasi pada suku tahun keempat ini juga akan lebih baik dan mampu berterusan sehingga suku pertama dan kedua tahun depan.
“Bagaimanapun, saya tidak pasti sejauh mana pertumbuhan ini dapat dikekalkan kerana sebagai sebuah ekonomi yang kecil, kita masih bergantung kepada ekonomi di negara-negara sekeliling dan situasi mereka dilihat tidak begitu stabil,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sijil Growth Entrepreneurship Assistance Programme (GRAP) di sini, hari ini.
Terdahulu, seramai 23 usahawan terdiri daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menyertai program GRAP anjuran MBSB Bank selama 7 bulan yang bermula sejak Februari hingga Ogos 2022.
Nor Azam berkata, objektif utama program itu adalah untuk memperkasakan ekonomi komuniti B40 menerusi peningkatan kemahiran dan pengurusan perniagaan bagi membolehkan penjanaan pendapatan mampan.
"Harapan kami agar para peserta GRAP akan terus maju ke hadapan dengan perniagaan masing-masing dan limpahan manfaatnya dapat dikongsikan dengan keluarga serta komuniti setempat," katanya.
Tambahnya, pihaknya juga bercadang untuk meneruskan program susulan untuk pengembangan perniagaan para usahawan terbabit dalam masa terdekat.
Para peserta GRAP yang terdiri daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak di Kuala Lumpur telah berpeluang menjalani latihan jualan dan pemasaran dalam talian, pembangunan produk, minda kreatif, kaedah perakaunan serta pengurusan rekod, pembekal dan kesejahteraan emosi.
Usaha tersebut telah memperkukuhkan perniagaan seta daya saing para peserta yang mana 80% daripadanya terdiri daripada golongan wanita termasuk ibu tunggal.
Daripada jumlah tersebut, 84% melibatkan perniagaan makanan dan selebihnya ialah jahitan serta 'dropshipping'. - DagangNews.com








