MBI Terengganu, Petronas teroka kerjasama bangun loji jana kuasa dan selenggara terminal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MBI Terengganu, Petronas teroka kerjasama bangun loji jana kuasa dan selenggara terminal

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun - Mentri Besar, Trengganu (Incorporated) (MBI Terengganu) dan Petronas Gas Bhd telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka potensi kerjasama berkaitan dengan cadangan pembangunan loji jana kuasa hidro mini serta cadangan pengurusan operasi dan penyelenggaraan terminal di Terengganu.

 

MBI Terengganu dalam satu kenyataan berkata, kerjasama strategik tersebut menandakan langkah awal kerjasama antara kedua-dua pihak bagi mengukuhkan pembangunan ekonomi di negeri itu, membolehkan mereka membuat penilaian bersama terhadap kebolehlaksanaan cadangan pembangunan berkenaan.

 

Menurut MBI Terengganu, pembangunan loji jana kuasa hidro kecil yang dicadangkan melalui anak-anak sungai di daerah Dungun adalah seiring dengan teras strategik Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu pengukuhan infra, pemerkasaan teknologi hijau dan pengawalan impak bencana.

 

Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata beliau yakin terhadap jalinan kerjasama strategik oleh kedua-dua belah pihak yang selaras dengan pelan dan aspirasi kerajaan negeri.

 

”Saya yakin bahawa kerjasama ini akan membuka peluang baharu dan memberikan manfaat kepada seluruh rakyat Terengganu, sejajar dengan matlamat pelan jangka masa panjang PITAS 2030,” tambahnya.

 

Syarikat itu berkata projek tersebut dilihat sebagai penyelesaian tenaga boleh baharu (TBB) yang kritikal dalam menjadi penyelesaian kepada cabaran bekalan elektrik terutamanya bagi kawasan luar bandar yang terpencil.

 

“Bagi cadangan kerjasama pengurusan, operasi dan penyenggaraan terminal oleh sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Terenganu iaitu EPIC Berhad pula, ia dilihat sebagai satu langkah strategik dan berimpak.

 

“Jika ia dapat direalisasikan dengan jayanya, ini bakal membuka ruang pemerkasaan ekonomi, bukan sahaja buat organisasi terlibat, tetapi juga buat komuniti setempat melalui penawaran peluang pekerjaan dan perkongsian kemahiran teknikal,” tambahnya.

 

Dalam majlis menandatangani MoU itu, MBI Terengganu diwakili oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Ketua Pegawai Kewangan merangkap Penasihat Kewangan kepada Menteri Besar Terengganu, Muhammad Ramizu Mustaffa.

 

Manakala Petronas diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Aziz Othman dan Pengurus Besar Kanan Pemprosesan Gas dan Utiliti, M Nazir M Nor.

 

Majlis itu disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. -DagangNews.com