Maybank sumbang RM21 juta tubuhkan Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank dengan kerjasama Asia School of Business | DagangNews Skip to main content

Maybank sumbang RM21 juta tubuhkan Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank dengan kerjasama Asia School of Business

Dari kiri Datuk Nora Manaf, Profesor Charles Fine dan Dr. Melati Nungsari pada majlis pelancaran Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank pada 31 Mac 2022.

KUALA LUMPUR 31 Mac – Maybank telah menyumbang sebanyak RM21 juta kepada Asia School of Business untuk menubuhkan Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank bertujuan menjadi pusat aktiviti intelektual di Asia Tenggara yang menjalankan penyelidikan berimpak tinggi mengenai topik-topik berkenaan pasaran baru muncul di rantau ini.

 

Sumbangan ini adalah sebahagian daripada matlamat bersama Maybank dan Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank untuk meningkatkan kehidupan warga ASEAN, dan berdasarkan persefahaman bersama bahawa kebajikan sosial boleh menjadi jambatan ke arah menambah baik penggubalan dasar.

 

Asia School of Business (ASB) merupakan kerjasama di antara MIT Sloan School of Management dan Bank Negara Malaysia.

 

Pusat ini dilancarkan secara rasmi oleh Datuk Nora Manaf, Pengerusi Bersama Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank dan Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Maybank, dan Profesor Charles Fine, Presiden dan Dekan di Asia School of Business dan Profesor di MIT Sloan.

 

Turut hadir Pengarah Fakulti Pusat Penyelidikan Maybank ASEAN dan Penolong Profesor Ekonomi di Asia School of Business, Dr. Melati Nungsari.

 

Nora berkata, telah terbukti bahawa data dan maklumat adalah penting untuk memperkasakan pemahaman yang membimbing penggubal dasar untuk bertindak secara pantas apabila menghadapi krisis, meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan daya tahan terhadap kejutan masa depan.

 

‘’Maybank berbangga untuk menyumbang kepada Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank di Asia School of Business kerana Bank komited untuk memacu wacana intelektual di kalangan pihak berkepentingan utama di rantau ini dan menyediakan sokongan untuk penyelidikan yang bermakna demi memberi pencerahan tentang isu sosial terkemuka yang memberi kesan kepada kita semua,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Sehingga kini, kajian penyelidikan utama Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank di ASB memberikan pandangan dan analisis yang mendalam kepada dua kajian yang berkait rapat dengan pandemik.

 

Kajian pertama yang diterbitkan pada September 2021 meneroka rasional di sebalik keraguan pengambilan vaksin di Malaysia dan sama ada norma sosial dan dasar kerajaan memainkan peranan dalam mempengaruhi keputusan seseorang untuk mendaftar untuk vaksinasi.

 

Keputusan kajian itu berdasarkan eksperimen tinjauan dalam talian yang menganalisis lebih 1,307 orang dewasa yang menetap di seluruh Malaysia.

 

Hasil daripada kajian itu memberikan pemahaman tentang bagaimana penggubal dasar boleh membantu memberi insentif kepada penduduk untuk mendaftar dan menerima vaksin COVID-19.

 

Kajian kedua yang sedang dijalankan meneroka “budaya penjaja” Malaysia dan kesan COVID-19 ke atas operasi mereka.

 

Dengan menggunakan Mesin Pembelajaran (ML) dan Kepintaran Buatan (AI), penyelidik Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank akan menjana peta operasi penjaja dan tepi jalan di Malaysia, serta mendalami pemahaman tentang cara penjaja mengakses kredit.

 

Ia juga akan merangkumi kesan COVID-19 ke atas operasi mereka, dan faktor yang menyelubungi perniagaan mereka, termasuk peningkatan dalam pekerjaan tidak formal dan hubungan antara perniagaan dan kerajaan.

 

Kajian pertama bertajuk “Norms, Trust, and Increasing Vaccine Registration in Malaysia”, boleh didapati di https://asb.edu.my/research-papers/norms-trust-and-increasing-vaccine-registration-in-malaysia.

 

Penemuan awal kajian penyelidikan bertajuk “The Roadside Economy in Malaysia” akan diterbitkan tidak lama lagi dan boleh didapati di https://asb.edu.my/faculty-research/the-asean-research-center-arc.

 

Pusat Penyelidikan ASEAN Maybank dianggotai oleh 6 kakitangan sepenuh masa termasuk 5 penyelidik. Emel kepada arc@asb.edu.my untuk  bekerjasama dalam isu penyelidikan yang penting kepada komuniti ASEAN dan penggubal dasar. – DagangNews.com