Maybank, Perodua bekerjasama tingkatkan kewangan digital bersepadu untuk pengedar melalui platform M2e | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank, Perodua bekerjasama tingkatkan kewangan digital bersepadu untuk pengedar melalui platform M2e

(Dari kiri) Datuk Hamirullah Boorhan, Rajenthiran Koru, JH Rozman Jaafar dan Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad pada majlis menandatangani MoC antara Maybank dan Perodua
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 18 Jan - Maybank dan Perodua Sdn Bhd memeterai memorandum kerjasama (MoC) untuk menyediakan perkhidmatan pembiayaan digital bersepadu hujung ke hujung yang lancar untuk Perodua melalui platform M2e Maybank.

 

Ia juga bagi menawarkan sokongan kewangan tambahan melalui pakej pembiayaan bernilai hampir RM400 juta untuk membantu mengembangkan lagi perniagaan Perodua.

 

Melalui MoC ini, Maybank melalui platform M2e yang lancar dan selamat, akan menawarkan akses produk dan perkhidmatan perbankan dan kewangan komprehensif sehenti merentas keseluruhan rantaian bekalan kepada Perodua serta pengedar dan pelanggannya di Malaysia. 

 

Ini merangkumi semua aspek operasi Perodua, daripada pembuatan, pengedaran, peruncitan vendor dan perkhidmatan selepas jualan. 

 

Kerjasama itu juga akan meliputi perkhidmatan kewangan seperti kemudahan pembiayaan modal, sewa beli terus dan menyeluruh, kemudahan peniaga kad kredit, pengurusan tunai, pakej pembiayaan pengedar-pembekal, MaxiPlan dan pembiayaan hijau/EV.

 

Terdahulu, perjanjian tersebut ditandatangani oleh Ketua Kewangan Pengguna Maybank, Rajenthiran Koru dan Ketua Pegawai Operasi Perodua, JH Rozman Jaafar, yang disaksikan Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad di Menara Maybank, baru-baru ini.

 

Hamirullah berkata, memandangkan proses perniagaan dilakukan secara dalam talian melalui platform M2e Maybank, ia membolehkan pengedar Perodua melaksanakan perniagaan mereka dengan penuh tangkas, meningkatkan kecekapan operasi, menjimatkan kos dan mempunyai kelebihan lebih tinggi dalam pasaran mereka.

 

Beliau berkata, pihaknya melihat potensi besar dalam kerjasama ini dan menyasarkan untuk meningkatkan bahagian pasaran pembiayaan sewa beli Perodua melebihi 30% pada tahun 2023 daripada purata 24% yang dicapai pada tahun sebelumnya. 

 

"Kami juga percaya bahawa kerjasama kami akan dipergiatkan lagi pada masa hadapan sambil kami berusaha ke arah aspirasi Perodua untuk merealisasikan misi EV 2030 mereka yang juga selaras dengan strategi M25+ kami iaitu untuk menjadi peneraju kemampanan di rantau ini,” katanya.

 

Zainal Abidin Ahmad pula berkata, kerjasama ini menyediakan kemudahan pembiayaan yang lebih cekap untuk pembiayaan modal bagi operasi jualan Perodua dan sewa beli runcit untuk pelanggannya.

 

"Proses yang dipertingkatkan ini akan memberi kesan berganda kepada operasi jualan kami, terutamanya untuk 148 pengedar jualan sah kami di seluruh negara yang mana kemudahan kredit akan membolehkan aliran tunai lebih baik dalam operasi mereka. 

 

"Ini akan membantu dalam mempercepatkan masa penghantaran kepada pelanggan kami, yang kami sedang cuba kurangkan," katanya. - DagangNews.com