KUALA LUMPUR 28 Feb - Maybank Investment Bank (IB) menyemak turun penarafan Velesto Energy Bhd. kepada 'jual' daripada 'pegang' sebelum ini dengan harga sasaran (TP) kekal pada 26 sen selepas syarikat minyak dan gas (O&G) itu merekodkan prestasi kewangan jauh di bawah jangkaan firma.
Kumpulan itu mengalami kerugian bersih sebanyak RM26 juta pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022 daripada kerugian bersih RM5.43 juta yang direkodkan tahun sebelumnya, apabila keuntungan bersihnya terjejas akibat perbelanjaan operasi, kos kewangan dan cukai yang lebih tinggi.
Pada tempoh itu, bagaimanapun, pendapatannya meningkat 53% kepada RM243.07 juta daripada RM158.48 juta didorong terutamanya kadar penggunaan pelantar jack-up yang lebih tinggi.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2022 (FY22), kerugian bersihnya meningkat kepada RM100.4 juta daripada RM90.82 juta manakala pendapatan meningkat kepada RM588.85 juta daripada RM377.51 juta.
Ini mendorong Maybank IB dalam nota kajiannya hari ini mengurangkan unjuran keuntungan Velesto bagi FY23 hingga FY24 sebanyak 6 hingga 8% selepas mengambil kira perbelanjaan operasi (opex) yang lebih tinggi, akibat daripada kitaran menaik dalam sektor O&G.
Oleh itu, ia menjangkakan keuntungan akan pulih pada FY23 hingga FY24 berikutan kadar sewaan harian (DCR) yang lebih tinggi antara AS$90,000 hingga AS$100,000 dengan kadar penggunaan dianggarkan sekitar 80 hingga 85%, meningkat 5.4 hingga 6% tahun ke tahun.
"Pada pandangan kami, semua faktor positif telah diambil kira. Untuk memangkin pertumbuhan dan kekal relevan, Velesto harus menerajui untuk mengewangkan beberapa pelantar jack-up (yang sedang dalam permintaan), dengan nilai gantian antara AS$85 hingga AS$100 juta seunit.
"Keupayaan untuk melaksanakannya akan menyaksikan Velesto menukar tunai bersih, menghilangkan risiko daripada pasaran kitaran yang tidak menentu bagi pelantar jack-up, mengitar semula modal dan beralih daripada O&G, kepada perniagaan baharu yang boleh memberikannya talian hayat baharu," jelasnya.
Dalam dagangan pagi ini, saham Velesto muncul kaunter paling aktif diniagakan di Bursa Malaysia yang menyaksikan harga sahamnya setakat 10.08 pagi ini susut 7 sen atau 25.45% kepada 20.5 sen sesaham dengan 238.56 juta saham diniagakan. -DagangNews.com








