KUALA LUMPUR 14 Feb - Maybank Investment Bank (IB) menyemak turun penarafan Tambun Indah Land Bhd. kepada 'pegang' daripada 'beli' sebelum ini dengan harga sasaran dinaikkan kepada 97 sen daripada 86 sen sebelum ini.
Menurutnya, kumpulan kekal berhati-hati dengan prospek bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) dengan menyasarkan jualan lebih rendah sebanyak RM150 juta, susut 13% tahun ke tahun di tengah-tengah kenaikan kadar dan persekitaraan kos pembinaan yang lebih tinggi.
Syarikat pemaju hartanah itu hanya akan melancarkan projek Dahlia Garden di Pearl City, Simpang Ampat, Pulau Pinang pada suku ketiga tahun ini yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM107 juta.
Projek itu merangkumi 209 unit kediaman terdiri daripada teres (185 unit) dan semi-D (24 unit) berharga antara RM470,000 hingga RM650,000 seunit.
"Oleh itu, kami membuat perubahan kepada unjuran keuntungan bagi FY23 dan FY24 masing-masing sebanyak -4% dan 14% selepas mengambil kira prestasi kewangan bagi FY22 dan anggaran jualan bagi FY23 (sebanyak RM150 juta).
"Walaupun menurunkan penarafan sahamnya, kami terus menyukai Tambun Indah kerana pengurusan yang berhemat dengan kunci kira-kira bersih serta DY tersirat (FY23) sebanyak 5.3%.
"Malah, Tambun Indah ialah proksi yang baik kepada kawasan Batu Kawan yang sedang berkembang pesat," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, untung bersih kumpulan susut kepada RM12.15 juta daripada RM28.55 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dengan pendapatan juga susut kepada RM53.93 juta daripada RM107.52 juta.
Penurunan pendapatan itu disebabkan terutamanya jualan hartanah baharu yang lebih rendah dan kurang projek yang sedang berjalan, dengan kumpulan itu menggunakan pendekatan berhati-hati untuk pelancaran hartanah baharu memandangkan keadaan pasaran secara keseluruhan.
Bagi tahun kewangan penuh FY22, kumpulan mencatat untung bersih sebanyak RM61.16 juta, lebih rendah sedikit daripada RM61.63 juta yang direkodkan pada FY21 manakala pendapatan susut kepada RM227.49 juta daripada RM255.88 juta.
Setakat 11.31 pagi, harga sahamnya susut 8.5 sen atau 8.95% kepada 86.5 sen dengan 2.27 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








