Maybank IB mulakan liputan terhadap Farm Fresh dengan saranan 'beli', TP RM1.95 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB mulakan liputan terhadap Farm Fresh dengan saranan 'beli', TP RM1.95

Farm Fresh disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia, 22 Mac lalu. - Gambar Facebook Farm Fresh
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Mei - Maybank Investment Bank (IB) Research memulakan liputan terhadap Farm Fresh Bhd. dengan saranan 'beli' pada harga sasaran (TP) RM1.95 sesaham. 

 

Penilaian itu didorong oleh kedudukannya yang dominan dalam industri tenusu, pengurusan yang mantap dan memiliki potensi pertumbuhan yang teguh. 

 

Ia juga sebahagian besarnya disokong rancangan pengembangan berterusan dalam kedua-dua penternakan tenusu dan kemudahan pemprosesan, yang seterusnya akan melonjakkan bahagian pasarannya dengan lebih tinggi dalam pasaran produk berasaskan susu segar.

 

Pada masa sama, menurut firma itu, Farm Fresh turut mempunyai perancangan untuk menembusi pasaran baharu di peringkat serantau dalam tempoh terdekat, antaranya, Indonesia, Filipina dan Hong Kong. 

 

"Kumpulan juga akan mengembangkan rangkaian produknya termasuk aiskrim dan susu tumbesaran kanak-kanak (susu cair) untuk bersaing dengan produk susu tepung sedia ada," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Syarikat perladangan tenusu bersepadu tempatan itu disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia pada 22 Mac lalu, yang merupakan penyenaraian terbesar sejak Jun 2021 dengan permodalan pasarannya RM2.5 bilion.

 

Farm Fresh mengendalikan 5 ladang tenusu di Malaysia dan 1 ladang tenusu di Australia, merentasi 2,160 hektar tanah, dengan jumlah saiz kumpulan sekitar 9,960 lembu tenusu dan lembu jantan.

 

Selain itu, kumpulan turut memiliki dan mengendalikan 2 kemudahan pemprosesan di Johor dan Pahang dengan kapasiti pengeluaran sekitar 137 juta liter barang siap setahun dan satu kemudahan pemprosesan di Kyabram, Australia, dengan kapasiti pengeluaran sekitar 84.0 juta liter susu diproses setiap tahun.

 

Menurut Maybank IB, setakat September 2021, Farm Fresh telah berkembang menjadi pemain kedua terbesar dalam jumlah kategori susu RTD (sejuk dan ambien) dengan bahagian pasaran sebanyak 18%, berbanding 3% pada 2015.

 

"Dengan memanfaatkan kualiti dan populariti produknya dalam kalangan pengguna, Farm Fresh telah merangka rancangan pengembangan masa depan dalam segmen huluan dan pertengahan alirannya untuk mengukuhkan kedudukan penerajunya dalam industri di samping memacu pertumbuhan volum melalui unit simpanan stok (SKU) baharu dan inovasi produk," jelasnya.

 

Firma itu menjangkakan Farm Fresh akan merekodkan untung teras bersih dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 23% bagi tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY24. 

 

Katanya, prestasi kewangan itu akan dipacu hasil CAGR 3 tahun sebanyak 15% dan peningkatan margin untung kasar kepada 31% pada FY23 hingga FY24, berbanding 28% pada FY21 hingga FY22. 

 

"Ini berlaku berikutan kenaikan harga produknya sebanyak 5% baru-baru ini untuk kategori RTD sejuk dan UHT/susu ambien yang secara kolektif menyumbang 76% daripada hasil pada FY21.

 

"Pertumbuhan hasil juga akan disokong oleh pertumbuhan progresif Farm Fresh dalam jumlah susu diproses dari FY22 hingga FY24," tambahnya.

 

Setakat 2.11 petang ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada RM1.69 dengan 2.23 juta saham diniagakan. - DagangNews.com