Maybank IB kekal unjuran kadar inflasi 2023 pada 3%, berhati-hati terhadap kenaikan harga makanan akibat El Nino | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB kekal unjuran kadar inflasi 2023 pada 3%, berhati-hati terhadap kenaikan harga makanan akibat El Nino

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Maybank Investment Bank mengekalkan unjuran kadar inflasi 2023 pada 3% sementara berhati-hati kenaikan harga makanan berikutan fenomena cuaca El Nino memandangkan harga beras telah meningkat 2.4% tahun ke tahun pada Julai.

 

“Kami mengekalkan unjuran inflasi 2023 pada 3% buat masa ini memandangkan kadar inflasi bulanan dijangka tetap di bawah 3% tahun ke tahun sehingga akhir tahun, terutamanya berdasarkan kesan asas.

 

 

BACA JUGA: Inflasi Malaysia mereda kepada 2% pada Julai 2023, terendah tahun ini - DOSM

 

 

“Bagaimanapun, risiko inflasi kekal cenderung menaik berikutan dasar subsidi dan kawalan harga yang tidak stabil,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kerajaan telah mula melaksanakan subsidi bersasar, bermula dengan tenaga elektrik pada awal tahun ini, di mana subsidi hanya diberikan kepada pengguna domestik (isi rumah) dan pengguna voltan rendah, berbanding pengguna bukan domestik (industri, komersial) dan pengguna voltan sederhana dan tinggi.

 

Ini diikuti dengan pengecualian isi rumah berpendapatan tinggi daripada subsidi elektrik pada permulaan separuh kedua tahun ini, iaitu mereka yang mempunyai penggunaan elektrik bulanan melebihi 1,500kWj (kilowatt setiap jam).

 

Tambahnya, subsidi bahan api bersasar berkemungkinan dilaksanakan pada tahun depan, yang akan turut menamatkan ‘manfaat’ kepada isi rumah berpendapatan tinggi.

 

“Pada masa yang sama, kami berhati-hati terhadap risiko inflasi makanan yang berkaitan dengan El Nino.

 

“Harga beras berada dalam trend menaik, meningkat 2.4% tahun ke tahun (YoY) pada Julai 2023 [Jun 2023: +1.4% YoY] dan 0.9% bulan ke bulan (MoM) [Jun 2023: 0.3% MoM].

 

“Ini adalah susulan kekurangan bekalan beras global berikutan keadaan cuaca buruk, pembelian panik akibat El Nino dan keputusan India untuk mengharamkan eksport beras,” tambahnya.

 

Pada Jumaat lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan inflasi Malaysia mereda kepada 2% pada Julai 2023, di mana inflasi makanan dan minuman bukan alkohol sederhana kepada 4.4%.  - DagangNews.com